HomeUtama1,000 liter diesel dirampas, aktiviti penyelewengan tumpas

1,000 liter diesel dirampas, aktiviti penyelewengan tumpas

Read Time:1 Minute, 13 Second

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya merampas 1,000 liter diesel yang disembunyikan dalam operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 dan Ops Taring Gelora Khas, pada Selasa.

Operasi itu dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) WP Labuan dan meliputi kawasan perairan, jeti-jeti serta persisiran pantai dengan fokus mengekang aktiviti penyelewengan barang kawalan, terutama petrol dan diesel, bagi mengelakkan ketirisan subsidi kerajaan.

Pengarah KPDN, Junaidah Arbain, berkata hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui enam drum besi yang ditutup dengan kanvas dalam keadaan mencurigakan di sebuah lokasi pendaratan sekitar Pulau Enoe.

“Kesemua drum tersebut didapati berisi cecair disyaki minyak diesel dengan anggaran kuantiti keseluruhan sebanyak 1,000 liter. Siasatan awal mendapati bahan berkenaan dipercayai disimpan bagi tujuan penyelewengan dan dijual semula pada harga yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, semua barang kes telah disita di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 , dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM8,500. Tindakan kes telah dihasilkan untuk siasatan lanjut.

“Jika sabit kesalahan, individu atau pihak terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu. Bagi syarikat, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta,” katanya.

Junaidah menegaskan bahawa KPDN Labuan akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain melalui pelaksanaan operasi bersepadu secara berterusan, bagi memastikan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan ketirisan subsidi dapat dibanteras dengan lebih berkesan.

RELATED ARTICLES
Utama

RM32.31 juta perkukuh pendigitalan Sabah, pacu ekonomi inklusif

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular