TAWAU: Kumpulan Sawit Kinabalu menerusi anak syarikat, Sawit Kinabalu Farm Products Sdn. Bhd. (SKFP), komited dalam memastikan bekalan lembu korban serta produk berasaskan daging lembu segar dan halal mencukupi di seluruh Sabah sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa, berkata syarikat akan terus menyokong usaha memperkukuh keterjaminan bekalan ternakan dan makanan, khususnya bagi memenuhi keperluan domestik.

“Syarikat akan terus berusaha menyokong keterjaminan bekalan ternakan dan makanan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa sektor agro-makanan, meskipun terdapat permintaan dari luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke beberapa unit operasi Sawit Kinabalu di sini Isnin lalu.
Hazem berkata, sehingga 2025, SKFP mencatatkan prestasi operasi memberangsangkan dengan peningkatan jualan lembu sebanyak 65.7 peratus, bersamaan lebih 4,600 ekor.
Beliau berkata, pencapaian itu didorong oleh peningkatan permintaan pasaran serta harga yang lebih kompetitif dan menggalakkan.
“Dalam usaha memperkukuh industri ternakan, SKFP turut memperluaskan variasi baka lembu termasuk Brahman, Brangus, Simental Cross dan Wagyu Cross dengan jumlah keseluruhan melebihi 10,000 ekor setakat Mac tahun ini,” katanya.
Sempena Aidiladha yang bakal tiba, Hazem berkata, SKFP turut mempergiat jualan lembu korban kepada orang awam dengan harga bermula serendah RM5,600 seekor.
Tempahan kini telah dibuka dan orang ramai digalakkan membuat tempahan awal bagi memastikan ketersediaan lembu korban yang berkualiti serta memenuhi syarat ibadah korban. – SABAH MEDIA



