KOTA KINABALU : Tahap pengisian guru di Sabah kini mencapai 98.22 peratus, sekali gus memastikan kelancaran operasi sekolah di seluruh negeri, hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk James Ratib, berkata daripada jumlah itu, seramai 86.75 peratus guru merupakan anak Sabah.
Beliau berkata, ia adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa bakat tempatan dalam sektor pendidikan.
“Perkembangan ini mencerminkan keberkesanan penyelarasan dasar serta komitmen berterusan antara Kerajaan Negeri dan pihak SPP dalam memastikan keperluan tenaga pengajar sentiasa mencukupi dan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi SPP yang diketuai Datuk Adzman Talib.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Hassan Mahali.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut menyentuh aspek pengurusan perkhidmatan pendidikan, termasuk pelantikan dan penempatan guru serta keperluan memperkukuh bidang-bidang kritikal yang menyokong agenda sains, teknologi dan inovasi Sabah.
Kunjungan itu juga mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam memastikan sektor pendidikan terus diperkasa sebagai asas utama pembangunan modal insan.
Pada masa sama, SPP menegaskan komitmennya untuk terus menyokong keperluan Sabah melalui pengurusan sumber manusia pendidikan yang lebih efisien dan responsif.
Pertemuan itu dilihat mampu memperkukuh penyelarasan antara peringkat Persekutuan dan negeri, sekali gus memastikan sistem pendidikan Sabah terus maju, inklusif serta relevan dengan keperluan semasa. – SABAH MEDIA



