KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merancang untuk melaksanakan operasi bersepadu bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap penyelewengan barangan kawalan di negeri ini.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Timbalan Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan ke atas Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin di pejabat KPDN Sabah, di sini pada Jumaat.
KPDN Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kerjasama strategik itu akan memberi tumpuan kepada penyelarasan operasi di lapangan termasuk aspek logistik, perkongsian maklumat risikan serta penggunaan fasiliti TLDM bagi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan.
Selain itu, kedua-dua agensi turut membincangkan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI yang menjadi antara inisiatif utama kerajaan dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

Kunjungan tersebut turut membuka ruang kepada pengukuhan hubungan dua hala antara KPDN dan TLDM, khususnya dalam memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi serta pasaran kekal stabil.
Langkah itu dilihat penting dalam usaha berterusan kerajaan membanteras ketirisan subsidi serta aktiviti penyeludupan yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Fredeck Kantod bersama pegawai kanan kedua-dua agensi.



