KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat delegasi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) bersama rakan strategiknya serta menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan pembangunan hab tenaga di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP), di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Isnin.
Kunjungan itu diadakan bersempena cadangan projek kerjasama antara SOGDC dan EA Gibson, sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab tenaga serantau.
Delegasi SOGDC diketuai Pengerusinya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, bersama Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd Azmir Ramli.
Hadir sama wakil rakan strategik antarabangsa iaitu Ketua Pegawai Operasi Aboitiz, Anton Perdises; Ketua Pegawai Eksekutif Negara ACWA, Matthew Chandapillai; Pengarah EA Gibson, Owen Bolton; Pengarah Eksekutif WEC, Mathew Lee; Pengarah Eksekutif Green Parrot (Abu Dhabi), Miran Sepich serta Pengarah Projek Gas Department EA Gibson, Tonci Tokic.
Dalam pertemuan itu, Hajiji dan Shahelmey turut menyaksikan pertukaran beberapa MoU strategik dan komersial antara SOGDC dengan rakan industri termasuk ACWA Power, Aboitiz Power Ltd dan WEC, yang merangka kerjasama awal bagi pembangunan projek Hab Tenaga di SOGIP.
Menurut SOGDC, cadangan pembangunan tersebut merangkumi pembinaan hab penyimpanan dan pengagihan tenaga bersepadu di kawasan seluas kira-kira 275 ekar termasuk kemudahan penyimpanan gas asli cecair (LNG), ammonia dan hidrogen, selain pembangunan infrastruktur petrokimia serta penjanaan tenaga.
Sebagai komponen utama projek, kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bersama ACWA Power bagi pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti antara 400 hingga 500 megawatt (MW).
Selain itu, Aboitiz Power Ltd sedang meneliti pembangunan sistem grid penghantaran tenaga, manakala WEC mempertimbangkan pembinaan jeti serta tangki simpanan.
Sementara itu, Saudi Aramco turut menyatakan minat awal untuk menyertai projek berkenaan sebagai rakan strategik serta pembekal utama LNG bagi hab tenaga itu.
Hajiji berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah.
“Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan pembangunan hab tenaga ini kerana ia bukan sahaja berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi, malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan industri hiliran di Sabah.
“Kita komited untuk menyediakan persekitaran kondusif kepada pelabur, di samping memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan SOGIP sebagai hab tenaga bersepadu juga akan memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas.
Inisiatif SOGDC dijangka meningkatkan kapasiti infrastruktur tenaga negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi serta menyokong pertumbuhan industri jangka panjang khususnya di kawasan SOGIP.



