HomeUtamaTiada ubat phenytoin diberi kepada Zara - Saksi

Tiada ubat phenytoin diberi kepada Zara – Saksi

Read Time:2 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Tiada sebarang ubat termasuk phenytoin diberi kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sebelum pelajar Tingkatan Satu itu tiba di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kinarut, Mohd Faiszal Md Saimi memaklumkan perkara itu ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

“Saya tidak memberikan sebarang ubat-ubatan kepada mangsa sepanjang rawatan kecemasan awal sehingga proses serah tugas kepada petugas kesihatan di QEH,” katanya.

Mohd Faiszal menjelaskan keutamaan rawatan kecemasan awal bagi pesakit trauma yang tidak sedarkan diri, dan disyaki mengalami kecederaan di bahagian kepala adalah pengurusan saluran pernafasan, mengenalpasti status pernafasan mangsa, serta kawalan pendarahan dan sirkulasi berbanding pemberian ubat-ubatan.

“Pemberian ubatan didapati tidak dapat mendatangkan sebarang kesan positif kepada mangsa, dan berkemungkinan menyebabkan kondisi mangsa menjadi lebih teruk seperti tekanan darah menurun dan pendarahan lebih teruk.

“Penolong Pegawai Perubatan juga tidak boleh memberi ubat tanpa kebenaran doktor kecuali ubatan di kelas C sahaja  seperti aspirin, glyceryl trinitrate (GTN), paracetamol, garam rehidrasi oral (ORS) dan cecair infusi seperti normal saline 0.9 peratus,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Pegawai Pengendali Timbalan Pendakwa Raya Sofia S. Sawayan, Mohd Faiszal berkata beliau tidak memberikan ubat phenytoin.

Pegawai Pengendali: Kamu katakan tidak memberikan sebarang ubat-ubatan kepada Zara dalam kes ini. Bagaimana pula dengan phenytoin?
Saksi: Saya tidak memberikan ubat phenytoin.

Pegawai Pengendali: Setahu kamu, adakah ubat tersebut telah diberikan kepada mangsa selepas dihantar ke QEH?
Saksi: Saya tidak pasti kerana itu ubat untuk sawan.

Pegawai Pengendali: Dalam kes ini, sewaktu kamu membuat rawatan awal terhadap mangsa, adakah tanda-tanda sawan kamu lihat?
Saksi: Tiada tanda sawan yang dapat dilihat kerana pesakit tidak sedar sepenuhnya dan Glasgow Coma Scale (GCS) berada pada skala rendah 3/15.

Apabila disoal lanjut oleh peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara mengenai phenytoin, Mohd Faiszal berkata ubat itu mungkin berada di bawah Kategori B, sama seperti diazepam iaitu ubat terkawal yang hanya boleh diberi oleh pegawai perubatan.

iaitu ubat terkawal yang hanya boleh diberi pegawai perubatan.

“Namun bagi kes-kes sawan, pilihan pertama ialah diazepam. Phenytoin adalah ubat terakhir bagi kes-kes sawan yang tidak terkawal, seperti apabila pesakit terus mengalami sawan melebihi lima minit atau mengalami sawan berulang walaupun sudah diberikan diazepam,” katanya.

Mohd Faiszal berkata, orang awam juga boleh mendapatkan phenytoin dalam bentuk tablet atau kapsul di farmasi dengan preskripsi daripada pegawai perubatan atau pakar.

Pada September tahun lepas, Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (QEH) Dr Jessie Hiu memberi keterangan bahawa bedah siasat terhadap jenazah Zara tidak mengesan sebarang ubat lazim (common drug) dalam anggota tubuh arwah, namun, terdapat Phenytoin dikesan dalam tisu buah pinggang.

Media juga pernah melaporkan seorang pakar bedah saraf dan seorang pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma QEH memberi keterangan bahawa tiada Phenytoin diberikan kepada Zara sepanjang syif mereka.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya, 17 Julai 2025, di hospital sama.

Inkues bersambung Khamis ini.

RELATED ARTICLES
Utama

UNK 2026 hanya tampil 25 finalis di peringkat akhir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular