Oleh Erdie Ab Wahid
BEAUFORT: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) menggalakkan semua sekolah khususnya di luar bandar mengambil inisiatif untuk mendapatkan dan memohon kemudahan berkaitan pertanian yang disediakan MAFFI.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, inisiatif itu adalah bertujuan bagi memperkasa pendidikan serta kemahiran pelajar dalam bidang pertanian.

“Setakat ini permohonan bagi mendapatkan kemudahan pertanian seperti rumah hijau lebih banyak diterima daripada sekolah di kawasan bandar, manakala penyertaan sekolah luar bandar masih rendah.
“Keadaan itu perlu diubah dengan menggalakkan pihak sekolah di luar bandar mengambil peluang yang disediakan, walaupun kemudahan yang ditawarkan adalah terhad.
“Di kawasan seperti Beaufort, terdapat lebih 10 sekolah menengah dan kira-kira 30 sekolah rendah. Kita menyasarkan sekurang-kurangnya dua rumah hijau dapat disediakan untuk sekolah menengah dan dua lagi untuk sekolah rendah pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah (MAKES) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong di sini pada Sabtu.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, usaha itu penting bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar kepada bidang pertanian, selain melengkapkan mereka dengan kemahiran bercucuk tanam yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
“Bukan sahaja fokus kepada akademik, tetapi kita mahu pelajar mempunyai kemahiran praktikal. Dengan ilmu pertanian, mereka bukan sahaja mampu melihat tanaman hidup subur, malah berpotensi menjana pendapatan sendiri,” katanya.
Tambah beliau, tidak semua pelajar akan terus mendapat pekerjaan selepas menamatkan persekolahan, justeru kemahiran pertanian boleh menjadi alternatif untuk mereka berdikari sementara menunggu peluang pekerjaan.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan program kebun dapur yang dilihat mampu membantu meningkatkan pendapatan isi rumah serta menyokong keperluan makanan keluarga.
Mengulas lanjut, beliau berkata Beaufort berpotensi menjadi hab pertanian khususnya di kawasan seperti Lumadan yang mempunyai banyak tanah terbiar.
Katanya, jika dimanfaatkan sepenuhnya, kawasan tersebut bukan sahaja mampu memberi peluang ekonomi kepada masyarakat setempat, malah membantu meningkatkan tahap keterjaminan makanan di Sabah. – SABAH MEDIA



