KOTA KINABALU : Daerah Beaufort dilaporkan mengalami cuaca panas tahap berjaga-jaga yang boleh mencecah suhu sehingga 37 darjah celcius.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, selain Sabah, beberapa kawasan lain di Semenanjung turut dilaporkan mengalami cuaca sama sejak semalam.
“Terdapat satu kawasan di Sabah iaitu Beaufort dan dua di Sarawak iaitu Limbang dan Marudi di laporan berada pada Tahap Satu (Berjaga-Jaga).
“Selain itu, terdapat 13 kawasan di Semenanjung berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Perlis, Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Sik (Kedah), Kuala Kangsar dan Hulu Perak (Perak), Termerloh dan Jerantut (Pahang) dan Machang, Pasir Mas dan Jeli (Kelantan),” menurut kenyataan itu di sini pada Sabtu.
Tahap gelombang haba itu boleh mencapai suhu maksimum harian yang melebihi 37 darjah Celcius hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Orang ramai boleh melayari https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mengetahui maklumat terkini status cuaca panas harian. – SABAH MEDIA



