Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seperti kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’, pendedahan kepada kepelbagaian etnik dilihat mampu menyemai rasa hormat dan penghargaan terhadap warisan budaya pelbagai kaum di negeri ini.
Bagi generasi muda seperti Edith Gloria John, perarakan budaya sempena Hari Etnik Sabah memberi ruang untuk lebih mengenali kepelbagaian etnik di negeri ini.
“Masih ada yang tidak begitu kenal etnik-etnik di Sabah, terutamanya generasi muda. Bila ada program macam ini, kita boleh kenal banyak etnik dan lebih menghargai perbezaan antara kita, sekali gus memupuk rasa hormat antara satu sama lain,” katanya.
Edith merupakan antara ratusan peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan budaya sempena Hari Etnik Sabah edisi ke-6 pada Sabtu.
Menurut Edith minatnya terhadap tarian dan budaya mendorong beliau untuk mengambil bahagian walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai jururawat.
“Saya juga mahu melihat sendiri kepelbagaian etnik Sabah berhimpun dan berarak dalam perarakan budaya yang julung kali diadakan ini, yang bukan sahaja meraikan budaya tetapi juga menyatukan masyarakat dari pelbagai latar belakang,” katanya yang hadir bersama Kumpulan Era Budaya.

Pandangan sama turut dikongsi juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) 2025, Mike Melvin Lee Larry, yang menyifatkan perarakan itu sebagai platform yang memperlihatkan kepelbagaian etnik Sabah dalam suasana harmoni dan inklusif.
Katanya, acara itu bukan sahaja mempamerkan keindahan budaya, tetapi juga mengukuhkan hubungan etnik.
“Sebagai juara RTK, saya amat kagum dengan perarakan ini kerana ia menghimpunkan pelbagai etnik dan kaum di Sabah dalam satu platform yang penuh warna dan makna. Ia bukan sahaja menonjolkan keindahan budaya, tetapi juga mengeratkan semangat perpaduan dan kekeluargaan,” katanya.
Beliau berharap inisiatif sebegini dapat diteruskan supaya generasi muda terus diberi peluang untuk mengenali, menghargai dan berbangga dengan warisan budaya mereka.
Hari Etnik Sabah merupakan acara tahunan anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) yang bertujuan menghargai, memperkukuh keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Sabah.
Penganjuran yang memasuki tahun keenam itu menampilkan elemen baharu iaitu perarakan budaya yang menghimpunkan pelbagai etnik dari seluruh Sabah.
Bertemakan ‘Budaya Kita, Kita Jaga’, sambutan Hari Etnik Sabah terus menjadi platform untuk memupuk kesedaran dan penghargaan terhadap kepelbagaian warisan budaya etnik, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Ia turut mencerminkan bahawa perbezaan agama, budaya dan latar belakang bukan penghalang, sebaliknya kekuatan yang memperkayakan identiti Sabah serta memperkukuh perpaduan rakyatnya.



