KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan terhadap seorang lelaki atas kesalahan merompak dan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Indy Ibnul, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengaku merompak telefon bimbit dan beg tangan milik mangsa serta menyebabkan kecederaan terhadap pelajar berusia 21 tahun itu dalam kejadian di sebuah kedai dobi di Alam Mesra pada 15 April lalu.
Mengikut fakta kes, mangsa ketika itu berada seorang diri di kedai berkenaan untuk membuat persediaan sebelum ke dewan peperiksaan, sebelum tertuduh yang menaiki motosikal dan memasuki premis tersebut.
Tertuduh kemudian bertindak merampas telefon bimbit dari tangan mangsa dan menarik beg yang dipakai mangsa sebelum beredar ke motosikal yang diletakkan berhampiran kedai.
Mangsa kemudiannya mengejar tertduuhdan memeluk leher (headlock) tertuduh semasa di atas motosikal untuk menghalangnya daripada melarikan diri.
Tertuduh kemudian memecut motosikal dan cuba menjatuhkan mangsa dengan menyiku mangsa yang berada dalam keadaan terseret.
Pergelutan berlaku ketika motosikal sedang bergerak sehingga tertuduh hilang kawalan dan terlibat dalam kemalangan.
Tertuduh kemudiannya terus menendang dan memijak perut dan kepala mangsa sebelum melarikan diri. Motosikal yang digunakan oleh tertuduh telah dibiarkan di tempat kejadian dan barang-barang milik mangsa berjaya diperolehi semula.
Mangsa telah dirujuk kepada pihak hospital dan disahkan mengalami kecederaan.
Susulan laporan polis, tertuduh ditahan pada 18 April 2026 dan berlaku pergelutan semasa proses tangkapan dilakukan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes yang dibentangkan pendakwaan, mangsa berada seorang diri di kedai dobi berkenaan untuk membuat persediaan sebelum ke dewan peperiksaan apabila tertuduh yang menunggang motosikal masuk ke premis tersebut.
Tertuduh kemudian meragut telefon bimbit dari tangan mangsa dan menarik beg mangsa sebelum menuju ke motosikal yang diletakkan berhampiran kedai. Mangsa mengejar tertuduh dan memegangnya dari belakang ketika tertuduh berada di atas motosikal bagi menghalangnya melarikan diri.
Tertuduh memecut motosikal walaupun mangsa masih memegangnya, dan cuba melepaskan diri dengan menyiku mangsa ketika mangsa terseret. Pergelutan berlaku ketika motosikal sedang bergerak sehingga tertuduh hilang kawalan dan terbabit dalam kemalangan.
Selepas itu, tertuduh menendang mangsa dan melarikan diri. Motosikal yang digunakan ditinggalkan di lokasi kejadian manakala telefon bimbit mangsa berjaya ditemui semula. Mangsa kemudiannya dirujuk ke hospital dan disahkan mengalami kecederaan.
Tertuduh ditahan pada 18 April dan berlaku sedikit pergelutan semasa proses tangkapan dilakukan.



