Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melaksanakan beberapa langkah penyelesaian bagi menangani isu kebocoran paip yang kerap berlaku di kawasan Likas.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Limus Jury berkata, keadaan paip jenis Asbestos Cement (AC) yang usang menjadi antara punca utama kejadian kebocoran kerap berlaku di kawasan berkenaan.
“Antara langkah penyelesaian termasuklah pelaksanaan kontrak penyelenggaraan paip Kota Kinabalu selama tiga tahun, yang bertujuan melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera ke atas paip yang bocor dan rosak, seterusnya mengurangkan kadar aduan gangguan bekalan air di sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Likas;
“Selain itu, program menaiktaraf dan penggantian paip jenis AC pelbagai saiz di daerah Kota Kinabalu, yang kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal sebanyak 7.03 peratus.
“Projek yang dianggarkan bernilai RM 28 juta ini dijadualkan siap pada 4 Februari 2027 dan bertujuan menaiktaraf serta menggantikan paip-paip lama di sekitar Kota Kinabalu termasuk kawasan Likas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tham Yun Fook (Warisan-Likas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.
Limus berkata, kerja-kerja penggantian paip usang serta menaiktaraf paip transmisi dan agihan di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, Sabah, yang melibatkan kos sebanyak RM200 Juta Turut dilaksanakan.
Beliau berkata, projek ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) melalui peruntukan pinjaman Persekutuan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Menurutnya, pelaksanaan projek ini akan melibatkan penggantian dan penaiktarafan paip-paip kritikal yang telah usang, termasuk di kawasan Likas. Projek ini dijangka mula dilaksanakan pada suku keempat tahun 2027 selepas melalui peringkat makmal pengurusan nilai.
“Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan kebolehpercayaan sistem agihan bekalan air serta mengurangkan kekerapan gangguan bekalan air di kawasan terlibat dalam jangka masa sederhana dan panjang,” katanya. – SABAH MEDIA



