HomeUtamaDUN Sabah : Tuntutan peratus hasil negeri perlu dimulakan dengan bayaran segera...

DUN Sabah : Tuntutan peratus hasil negeri perlu dimulakan dengan bayaran segera – Masidi

Read Time:2 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan tuntutan 40 peratus hasil negeri kepada Kerajaan Persekutuan perlu dimulakan dengan bayaran segera bagi komponen cukai yang tidak dipertikaikan, sementara rundingan bagi komponen lain masih berjalan.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata dua sumber utama yang jelas dan tidak menjadi pertikaian ialah kutipan cukai oleh Jabatan Kastam serta cukai pendapatan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri telah menghantar surat rasmi pada 10 April lalu bagi menuntut bayaran 40 peratus daripada dua komponen tersebut terlebih dahulu.

“Pendirian kita jelas, cukai yang tidak dipertikaikan jumlahnya hendaklah dibayar dahulu sebelum kita meneruskan rundingan bagi cukai-cukai lain yang masih dalam proses perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.

Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, berdasarkan anggaran semasa, 40 peratus bahagian Sabah daripada kutipan cukai tidak dipertikaikan itu diunjurkan sekitar RM4.69 bilion bagi tahun 2025 sahaja.

Angka tersebut, katanya, adalah berdasarkan data rasmi yang diterbitkan setiap tahun dan boleh diakses umum, justeru tidak menimbulkan isu pertikaian.

Mengulas lanjut, Masidi berkata terdapat juga data hasil lain yang tidak boleh didedahkan kepada umum buat masa ini kerana masih berada dalam fasa rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kita tidak boleh berunding melalui media. Ada perkara yang perlu dihormati dalam proses rundingan, termasuk menjaga kedudukan kita sendiri,” katanya.

Beliau turut mengulas kenyataan sebelum ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung data hasil Sabah yang dikatakan telah diserahkan kepada kerajaan negeri, dengan menyatakan beliau tidak pasti sama ada kenyataan tersebut mewakili pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan.

Dalam sesi sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Jeffrey Kitingan, membangkitkan keperluan ketelusan data hasil negeri termasuk kutipan sejak 2002 hingga 2025, serta mempersoalkan sama ada komponen lain seperti hasil petroleum dan duti eksport turut dimasukkan dalam tuntutan.

Menjawab perkara itu, Masidi menegaskan semua bentuk cukai dan hasil yang dirasakan menjadi hak Sabah akan tetap dituntut, termasuk yang melibatkan sektor minyak dan gas.

“Semua cukai yang kita fikirkan kita ada hak, kita tuntut — tidak kira apa jenis cukai,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta memperincikan pecahan anggaran kutipan, beliau memberi gambaran bahawa jumlah tersebut merangkumi kira-kira RM7.547 bilion daripada Cukai Langsung (LHDN) dan Cukai Tidak Langsung (Kastam) serta 40 peratus Pemberian Khas adalah RM3.019 bilion

Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah kekal menjadi agenda utama rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya melibatkan komponen hasil yang masih dipertikaikan termasuk apa yang dirujuk sebagai “lost years” sejak 1974. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Itali teroka peluang kerjasama di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular