KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipenjara 14 tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Matali, 72, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Bagi setiap pertuduhan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan serta memerintahkan hukuman penjara itu berjalan berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani program kaunseling pemulihan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun pada 5 Oktober 2025, jam lebih kurang 6.30 petang, di sebuah rumah di sebuah kampung dalam daerah Papar.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku melakukan kesalahan sama terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun pada penghujung Jun 2025 kira-kira waktu pagi di tepi jalan kampung yang sama dalam daerah Papar.
Berdasarkan fakta kes pertama, tertuduh melakukan kesalahan itu ketika berada di rumah mangsa untuk mengajar membaca al-Quran sebelum perbuatannya disedari ibu mangsa yang kemudian membuat laporan polis pada hari sama.
Berdasar fakta untuk kes kedua, mangsa dikatakan sedang berjalan kaki bersama kakaknya menuju ke perhentian van sekolah sebelum dihampiri tertuduh yang memberikan wang RM1 kepadanya.
Tertuduh kemudian memanggil mangsa sebelum bertindak melakukan kesalahan tersebut. Kejadian berkenaan disaksikan bapa saudara mangsa. Laporan polis berhubung kejadian dibuat pada 5 Oktober 2025.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.



