HomeUtamaSkandal Jabatan Air: Keputusan bakal diketahui 19 Mei

Skandal Jabatan Air: Keputusan bakal diketahui 19 Mei

Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Kes berprofil tinggi yang membabitkan pegawai atasan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan diputuskan pada 19 Mei ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menetapkan tarikh itu terhadap bekas pengarah JANS Ag Mohd Tahir Mohd Talib, isterinya Fauziah Piut, serta bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng.

Ketiga-tiga tertuduh bakal mengetahui nasib mereka sama ada akan dibebaskan atau disabitkan atas pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah sebelum ini mendengar hujahan penjelasan di akhir kes pembelaan, dengan hujahan Lim didengar pada Rabu manakala hujahan Ag Mohd Tahir dan Fauziah didengar pada Selasa.

Kes ini mula mendapat perhatian media pada 2016 apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas sejumlah besar barangan berharga dan jutaan ringgit tunai dalam salah satu operasi terbesar di Sabah.

Ag Mohd Tahir, isterinya dan Lim didakwa pada 29 Disember 2016 dan semuanya mengaku tidak bersalah.

Ag Mohd Tahir berdepan 11 pertuduhan, manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Fauziah turut berdepan dua pertuduhan bersama dengan Ag Mohd Tahir di bawah seksyen yang sama, manakala Ag Mohd Tahir mempunyai satu pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Ag Mohd Tahir dan isterinya didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi termasuk di pejabatnya di sini, sebuah rumah di Sembulan, beberapa cawangan bank, sebuah kondominium, di Sulaman dan sebuah menara di Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016.

Lim pula didakwa melakukan kesalahan di pejabat SPRM Jalan UMS dan sebuah rumah di sini antara 13 Oktober hingga 8 November 2016.

Perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 dan berpanjangan susulan beberapa permohonan interlokutori termasuklah pandemik Covid-19.

Pihak pendakwaan menutup kes pada 16 Mei 2024 selepas memanggil lebih daripada 40 saksi dan pada 4 Disember 2024, mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh membela diri.

Pihak pembelaan kemudian memanggil 15 saksi, termasuk diri mereka dan beberapa saksi yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan, seperti bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Ag Mohd Tahir mula membela diri pada 30 April 2025 manakala Fauziah memberi kenyataan tidak bersumpah pada 26 September 2025. Lim pula memberi keterangan pembelaan pada 22 Oktober 2025.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T. Rining dan Noorsyazwani Sapri, manakala Lim Lam Beng diwakili Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

RELATED ARTICLES
Utama

Keputusan Permohonan Kemasukan UA, IPTA dan MARA BPT Diumum 22 Mei...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular