HomeUtamaAktiviti luar murid akan dihadkan jika cuaca terlalu panas

Aktiviti luar murid akan dihadkan jika cuaca terlalu panas

Read Time:1 Minute, 17 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Aktiviti luar bilik darjah melibatkan murid di sekolah seluruh Sabah akan dihadkan sekiranya keadaan cuaca panas berada pada tahap tidak mengizinkan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, langkah itu sebagai tindakan berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid sentiasa terpelihara sepanjang musim cuaca panas.

Beliau berkata, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah dimaklumkan mengenai langkah yang boleh diambil sekiranya berlaku peningkatan suhu melampau di sesuatu kawasan.

“Setakat ini tahap cuaca belum sampai ke tahap membimbangkan, namun kita sentiasa mengingatkan sekolah supaya mengurangkan aktiviti luar sekiranya cuaca terlalu panas.

Raisin Saidin – Foto Alexter Rosalia

“Kita juga menggalakkan aktiviti dilaksanakan di tempat tertutup demi keselamatan dan keselesaan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini, pada Khamis.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa termasuk di kawasan yang dilaporkan mengalami suhu panas seperti Telupid yang kini dilaporkan berada pada tahap berjaga-jaga.

Katanya, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyalurkan maklumat cuaca dari semasa ke semasa bagi membolehkan tindakan segera diambil mengikut garis panduan ditetapkan.

Selain itu, beliau berkata sekolah juga diberi fleksibiliti untuk membenarkan murid memakai pakaian yang lebih sesuai ketika cuaca panas asalkan kemas dan bersesuaian.

“Tidak semestinya murid perlu memakai pakaian seragam biasa dalam keadaan cuaca panas, asalkan pakaian itu sesuai untuk digunakan di sekolah,” katanya.

Raisin berkata, setakat ini keadaan cuaca di Sabah masih terkawal dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

SEC, ASB sumbang RM200,000 bantu mangsa kebakaran Kg Bahagia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular