KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Perhubungan kepada Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, Abd Rahim Aliudin membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Papar malam tadi susulan kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menyamar sebagai pegawai atau wakil kepada Ahli Parlimen berkenaan bagi tujuan penipuan.
Menurut Abd Rahim, individu terbabit dipercayai menggunakan nama dan kedudukan wakil kepada Datuk Armizan untuk memperdaya orang ramai, termasuk melibatkan urusan transaksi wang, bantuan, sumbangan dan urusan peribadi.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang mesej, panggilan telefon atau permintaan mencurigakan yang diterima daripada individu tidak dikenali.
“Segala urusan rasmi berkaitan Datuk Armizan hanya dibuat secara bertulis melalui Pejabat Parlimen Papar atau Pejabat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selain melalui pegawai yang dipertanggungjawabkan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau turut meminta orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima mesej atau panggilan yang meragukan.
“Mohon kerjasama semua pihak untuk turut menyebarkan peringatan ini agar lebih ramai tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.



