HomeUtamaDua lelaki bebas tuduhan rompak berkumpulan, seorang dipenjara 12 tahun

Dua lelaki bebas tuduhan rompak berkumpulan, seorang dipenjara 12 tahun

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Dua lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan rompak berkumpulan membabitkan beg tangan jenama Michael Kors milik seorang wanita.

Hakim Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan itu terhadap Sharizan Sablee, 26, dan Zamree Said, 37, selepas perbicaraan penuh.

Mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sementara itu, rakan tertuduh mereka, Mohd Melvin Matdi, 38, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh mahkamah yang sama atas pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak beg tangan wanita tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara terhadap Mohd Melvin bermula dari tarikh dia ditangkap pada 10 Mac 2024.

Pada awalnya, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merompak beg tangan jenama Michael Kors milik seorang wanita berusia 40 tahun di kawasan Pasar Tamu Menggatal pada 7 Mac 2024.

Dalam keputusannya, hakim berkata memandangkan Sharizan dan Zamree telah dibebaskan, elemen “rompakan berkumpulan” (dua orang atau lebih) maka dengan ini tidak lagi dipenuhi untuk mengekalkan pertuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Walau bagaimanapun, elemen rompakan oleh Mohd Melvin telah dibuktikan sepenuhnya. Oleh itu, Mahkamah dengan ini meminda pertuduhan terhadap Mohd Melvin kepada kesalahan yang lebih ringan iaitu di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (rompakan) dan seterusnya mendapati Mohd Melvin bersalah dan disabitkan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambahnya, hukuman bagi kesalahan ini ialah hendaklah dihukum dengan pemenjaraan yang boleh sampai 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Sepanjang peringkat pendakwaan dan pembelaan, kedua-dua pihak masing-masing memanggil lima saksi.

Sharizan dan Zamree tidak diwakili peguam, manakala Mohd Melvin diwakili peguam Sylyester Kuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis.

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM tahan tiga pembantu penguat kuasa disyaki terima rasuah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular