HomeUtamaZara pernah kongsi rasa tidak selesa diganggu pelajar – Saksi

Zara pernah kongsi rasa tidak selesa diganggu pelajar – Saksi

Read Time:2 Minute, 20 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir disifatkan sebagai seorang yang tidak banyak bercerita mengenai masalah peribadi dan lebih banyak menyimpan sendiri perkara tertentu, Mahkamah Koroner diberitahu.

Bagaimanapun, saksi berusia 17 tahun berkata Zara pernah berkongsi rasa tidak selesa dengan seorang pelajar tomboi yang didakwa kadangkala mengganggunya.

Menurut saksi yang merupakan ahli keluarga Zara, Zara tidak takut kepada pelajar berkenaan dan hanya tidak selesa sahaja.

“Semasa Zara bercerita mengenai pelajar itu, keadaan emosinya kelihatan biasa dan  hanya menunjukkan rasa tidak selesa, bukan takut atau tertekan,” katanya dalam pernyataan saksi yang dibacakan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi berkata, selain perkara tersebut, Zara tidak pernah menyebut individu lain yang membuatnya tertekan dan tidak pernah bercerita mengenai kejadian di sekolah yang menyebabkan dirinya sedih, dipinggirkan atau dilayan dengan tidak baik.

Tambahnya, berdasarkan pemerhatiannya, sekolah tidak banyak mempengaruhi emosi Zara dan beliau tidak menunjukkan bahawa sekolah memberi tekanan besar kepada Zara.

“Saya ada memberi nasihat dan sokongan biasa kepada Zara berhubung perkara  tersebut namun saya tidak pernah memaklumkan kepada orang dewasa kerana pada  pandangan saya keadaan tersebut tidak serius pada waktu itu,” katanya.

Dalam keterangannya, saksi turut menggambarkan Zara sebagai seorang yang ceria, gembira, suka bergurau dan mudah mesra dengan orang lain.

Katanya, Zara suka bergurau bersama ahli keluarga dan kadangkala gurauannya agak kasar sedikit, namun seorang yang baik hati.

“Zara juga suka berkongsi makanan dan melakukan aktiviti bersama saya seperti  berjalan-jalan, bercuti, membeli-belah dan membuat video TikTok bersama. Antara sifat  Zara yang paling saya ingat ialah beliau seorang yang sangat suka bergurau dan mudah  mesra,” katanya.

Saksi berkata, Zara tidak pernah menunjukkan perubahan emosi yang ketara dan tidak pernah dilihat berada dalam keadaan tertekan atau murung.

“Jika Zara sedih, biasanya beliau hanya akan diam seketika. Namun pada pemerhatian  saya, Zara tidak pernah menunjukkan tanda tekanan emosi yang serius,” katanya.

Saksi turut memberitahu mahkamah bahawa hubungan antara Zara dan ibunya sangat rapat dan lebih seperti hubungan kawan baik.

“Zara kelihatan sangat sayang kepada ibunya dan selesa  bercakap mengenai ibunya. Zara tidak pernah mengadu bahawa beliau takut kepada ibunya atau bahawa ibunya  tidak sayang serta mengabaikannya.

“Pada pandangan saya, hubungan mereka seperti  hubungan ibu dan anak biasa tetapi lebih rapat seperti kawan baik,” katanya.

Saksi berkata semua keterangan yang dinyatakan dalam pernyataan itu adalah berdasarkan apa yang dilihat, didengar dan dialaminya sendiri.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di tingkat bawah asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia keesokan pagi di Hospital Queen Elizabeth.

Mayatnya kemudian digali semula pada 9 Ogos 2025 dan bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.

Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang diberikan iaitu Pelajar A, B, C, D dan E didakwa kerana mencela Zara.

Prosiding bersambung esok.

RELATED ARTICLES
Utama

Tindakan ‘Suara Mahasiswa UMS’ tidak mewakili pendirian rasmi universiti – UMS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular