Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seramai 53 finalis bakal bersaing merebut gelaran berprestij Unduk Ngadau Kaamatan 2026 pada pertandingan akhir peringkat negeri nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Negeri, Dr Mary Gambidau berkata kesemua finalis mewakili daerah-daerah serta cawangan KDCA di Sabah, termasuk penyertaan dari Semenanjung Malaysia.
“Pada 31 Mei 2026 nanti, kesemua 53 finalis ini akan berentap di pentas akhir yang bakal berlangsung di Hongkod Koisaan, Penampang.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 25 finalis teratas akan mara ke pusingan seterusnya, berbanding hanya 15 peserta pada tahun-tahun sebelumnya.
“Penambahbaikan ini diperkenalkan bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada para peserta untuk menyerlahkan potensi, personaliti serta kemampuan masing-masing,” katanya dalam sidang media semasa sesi pendaftaran finalis di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, tahun ini pihak penganjur turut memperkenalkan sistem penilaian dua peringkat.
“Penilaian awal akan dijalankan sepanjang Minggu Unduk Ngadau bermula 26 Mei melalui pelbagai aktiviti dan sesi penilaian dalaman, sebelum diteruskan dengan penilaian akhir pada malam kemuncak 31 Mei nanti.
“Sepanjang tempoh tersebut, para finalis akan menjalani pelbagai sesi rasmi termasuk temu bual tentang pengetahuan budaya dan adat. Terdapat juga juga Pertandingan Filem Pendek CAN yang akan mengetengahkan tema ‘Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam proses penghakiman, pihak penganjur juga telah menyediakan rubrik pemarkahan khusus sebagai panduan rasmi kepada barisan juri.
“Menerusi rubrik ini, penghakiman akan menjadi lebih adil profesional dan telus, dengan fokus diberikan sepenuhnya kepada kriteria penilaian yang telah ditetapkan,” katanya.
Mary menegaskan, Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan, tetapi merupakan platform untuk memperkasakan wanita muda sebagai duta budaya, warisan dan komuniti Kadazandusun serta masyarakat Sabah secara keseluruhannya.
“Tahun ini, pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2026 bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000, tajaan biasiswa pendidikan, saringan kesihatan, produk kecantikan, serta pelbagai hadiah menarik lain daripada para penaja dan rakan strategik kami,” katanya



