KOTA KINABALU: Tular video memaparkan seorang pelajar perempuan dipukul beramai-ramai membawa kepada siasatan polis selepas mangsa mendakwa dibelasah lima remaja perempuan dalam kejadian di sekitar bandar raya ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 23 Mei lalu kira-kira jam 7.51 pagi.
Menurutnya, laporan dibuat sendiri oleh mangsa yang merupakan pelajar perempuan berusia 13 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 22 Mei 2026 kira-kira jam 8 pagi di sekitar kawasan Kota Kinabalu.
“Mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki selain lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa dan semua suspek merupakan pelajar daripada beberapa sekolah berlainan di sekitar Kota Kinabalu.
“Mereka dipercayai saling mengenali melalui kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘Angel’.
“Menurut siasatan, mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum semua suspek bertindak mengepung dan memukul mangsa dipercayai akibat salah faham serta rasa tidak puas hati terhadap mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mangsa turut mendakwa diugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga atau pihak polis.
“Kejadian itu turut disaksikan beberapa pelajar dan orang awam sebelum dirakam dan tular di media sosial,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.



