KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan kerana meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain, menjatuhkan hukuman itu terhadap Willie Andrew Wong, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah pada Khamis.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa antara Januari hingga Julai 2025 di sebuah rumah di sini.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara yang berat memandangkan keseriusan kesalahan tersebut.
Beliau berhujah bahawa mahkamah perlu mengambil kira usia mangsa yang masih terlalu muda dan berada dalam keadaan terdedah serta tidak berdaya mempertahankan diri.
Menurutnya, kesalahan itu juga berlaku di rumah nenek mangsa, iaitu tempat yang sepatutnya menjadi lokasi selamat bagi kanak-kanak berkenaan.
Mahkamah diberitahu bahawa kejadian itu terbongkar selepas mangsa memberitahu ibunya bahawa seorang lelaki dikenali sebagai “Uncle Willie” telah melakukan perbuatan tersebut terhadapnya antara Januari hingga Julai tahun lalu.
Siasatan kemudian mendapati kejadian itu berlaku di rumah nenek mangsa sebelum satu laporan polis dibuat dan tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.


