Oleh Josie Johnlis
KOTA KINABALU: Hampir sedekad komuniti Dusun Labuk dari Beluran dan Telupid memperkenalkan keunikan warisan budaya mereka di Hongkod Koisaan, Penampang menerusi ruang pameran sementara setiap kali sambutan Kaamatan.
Tahun ini, usaha berterusan dengan semangat ‘kopiiso ginavo’ (sepakat) itu membuahkan hasil apabila komuniti berkenaan akhirnya mempunyai bangunan kekal dinamakan Valai Dusun Labuk, rumah kebudayaan pertama mereka di Sabah.
Terletak di Koisaan Cultural Village (KCV), rumah kebudayaan itu bukan sekadar simbol pengiktirafan kepada komuniti Dusun Labuk, malah menjadi ruang untuk memperkenalkan warisan, bahasa, muzik, tarian dan makanan tradisi mereka kepada orang ramai.
Komuniti Dusun Labuk kebanyakannya menetap di daerah Beluran dan Telupid. Mereka terdiri daripada beberapa suku seperti Putih, Tindakon, Sogilitan, Turavid dan Tompulung yang masing-masing menyumbang kepada keunikan identiti Dusun Labuk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Jonnybone Kurum berkata, pembinaan Valai Dusun Labuk mencerminkan kesungguhan komuniti itu memelihara dan mempromosikan warisan budaya mereka untuk generasi akan datang.
“Sejak 2016, komuniti Dusun Labuk dari Beluran dan Telupid secara bergilir memperkenalkan budaya mereka semasa Kaamatan. Kini komuniti ini akhirnya mempunyai rumah kebudayaan sendiri di Hongkod Koisaan dan ia merupakan rumah kebudayaan Dusun Labuk pertama di Sabah.
“Ia merupakan satu pengiktirafan penting kepada komuniti Dusun Labuk. Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama pemimpin Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) dari daerah Telupid dan Beluran,” katanya.
Jonnybone, yang juga berasal daripada komuniti Dusun Labuk, berkata beliau bersyukur kerana dapat memainkan peranan sebagai Ahli Majlis Tertinggi KDCA dan wakil rakyat dalam usaha mendapatkan peruntukan bagi merealisasikan pembinaan rumah kebudayaan itu.
Menurutnya, peruntukan RM150,000 bagi projek tersebut diluluskan oleh Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Ketua Menteri pada Februari lalu, manakala kerja pembinaan bermula bulan lepas.
Katanya, rumah kebudayaan itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi KDCA Labuk Beluran, Janai @ Tuni Sikawa @ Sikua berkata, pengunjung Valai Dusun Labuk berpeluang mengenali dengan lebih dekat pelbagai aspek tradisi dan cara hidup komuniti Dusun Labuk.
Antara tarikan yang akan dipamerkan ialah mini tongkulabang (rama-rama), iaitu rumah padi tradisional masyarakat Dusun Labuk yang unik dengan reka bentuk bumbung yang boleh dibuka dan ditutup.

“Kami juga akan menampilkan persembahan tarian tradisional Magalai Labuk, alat muzik tradisional serta pakaian tradisi Sabung Labuk yang terkenal dengan sulaman bunga gosing empat warna.
“Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti interaktif seperti belajar menyulam bunga gosing, magalai dan merasai sendiri pengalaman bermain alat muzik tradisional,” katanya.
Menurut Janai, selain pakaian tradisi, antara elemen budaya Dusun Labuk yang paling mudah dikenali ialah muzik tradisionalnya yang dimainkan menggunakan gabungan gong dan kulintangan, menghasilkan rentak irama yang dikenali sebagai titik tungkil.
Dengan tempo yang lebih pantas berbanding kebanyakan muzik tradisional Kadazandusun lain, titik tungkil lazim dimainkan semasa majlis perkahwinan, sambutan Kaamatan dan upacara menyambut tetamu kehormat.
Mengiringi muzik tersebut ialah tarian tradisional Magalai Labuk yang diinspirasikan daripada pergerakan burung helang atau koniu dalam bahasa Dusun Labuk dengan hentakan kaki mengikut rentak muzik.
Tarian itu boleh dipersembahkan secara solo, berpasangan atau berkumpulan dengan sesetengah pergerakannya menyerupai seni mempertahankan diri hasil gabungan pergerakan tangan dan kaki.

“Bahasa kami juga unik. Walaupun masih ramai yang menuturkannya, bahasa ini berdepan risiko pupus kerana semakin ramai penutur, khususnya generasi muda, mencampurkan bahasa Dusun Labuk dengan bahasa lain.
“Ramai komuniti Dusun Labuk akan berada di Valai Dusun Labuk dan pengunjung berpeluang mendengar serta mempelajari bahasa itu secara langsung,” katanya.
Walaupun data mengenai populasi Dusun Labuk di Sabah agak terhad, satu kajian bahasa Dusun Labuk yang dijalankan pada tahun 1980-an menganggarkan antara 12,000 hingga 14,000 orang menuturkan bahasa tersebut.
Pesta Kaamatan disambut setiap tahun pada 30 dan 31 Mei.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di perkarangan KDCA pada 30 Mei, manakala Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dijangka menyempurnakan majlis penutupan pada 31 Mei.



