HomeUtamaMaritim Malaysia tahan vesel, pam bot di perairan Kunak

Maritim Malaysia tahan vesel, pam bot di perairan Kunak

Read Time:1 Minute, 39 Second

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah vesel pukat jerut bilis dan sebuah pam bot dalam dua operasi berasingan di perairan Pulau Tabawan, Kunak semalam.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua- dua bot berkenaan ditahan sekitar jam 3.30 hingga 5.00 petang oleh sepasukan anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.

Beliau berkata, dalam kes pertama, sebuah vesel pukat jerut bilis dikesan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 0.37 batu nautika tenggara Kampung Jaya Baru, Kunak.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut sedang menangkap ikan dalam kawasan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat.

“Turut ditahan seorang tekong warga tempatan berusia 25 tahun bersama dua kru warga asing berusia 43 dan 57 tahun. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM115,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam operasi berasingan, anggota bot ronda Maritim Malaysia turut mengesan sebuah pam bot mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.23 batu nautika timur Kampung Jaya Baru, Kunak.

Menurut beliau, ketika pasukan operasi menghampiri sasaran, seorang individu yang dipercayai tekong bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke arah daratan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan ke atas pam bot tersebut menemukan ikan campur yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan. Bot yang digunakan turut dirampas untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM7,000,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan yang menyalahi undang-undang.

“Kesemua bot, kru yang ditahan dan barang rampasan telah dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Lahad Datu menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

RELATED ARTICLES
Utama

Tambang penerbangan ke Sabah ketika musim perayaan perlu diberi perhatian –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular