PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Papar-Kota Kinabalu, Kilometer 14.6 berhampiran Kampung Meruntum, Putatan, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11.10 malam, Selasa.
Beliau berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke lorong paling kanan jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan bertugas dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat.
Dalam kejadian itu, pemandu dan seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, siasatan polis turut mendapati kenderaan pacuan empat roda itu telah ditinggalkan oleh pemandunya kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kemalangan sebelum dibakar oleh individu yang tidak dikenali.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparialadoni di talian 019-809 5133.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar lokasi kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.



