KOTA KINABALU: Cadangan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial disifatkan sebagai langkah proaktif dan bertepatan dalam usaha melindungi golongan remaja daripada pelbagai ancaman siber yang semakin membimbangkan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Haryati Abdul Karim berkata, penetapan had umur tersebut mampu mengurangkan pendedahan pengguna muda terhadap kandungan serta aktiviti dalam talian yang berpotensi menjejaskan keselamatan, kesejahteraan dan perkembangan mereka.
Menurut beliau, tanpa kawalan umur yang bersesuaian, remaja khususnya yang berusia bawah 16 tahun berisiko tinggi terdedah kepada pelbagai kandungan berbahaya seperti keganasan, pornografi, penipuan dalam talian serta penyebaran ideologi ekstrem termasuk rasisme dan islamofobia.
“Kajian UMS-UNICEF Communication for Development (C4D) yang dijalankan sebelum ini mendapati remaja di Malaysia terdedah kepada sekurang-kurangnya enam jenis ancaman siber, termasuk kandungan ganas yang boleh mempengaruhi tingkah laku serta risiko sexual grooming melalui interaksi dalam talian.
“Seawal usia 13 tahun, kebanyakan remaja sudah memiliki telefon pintar dan mula mengakses media sosial. Tanpa sekatan umur yang lebih ketat, pendedahan terhadap ancaman ini berlaku lebih awal dan sukar dikawal,” katanya ketika mengulas cadangan pelaksanaan had umur minimum bagi pengguna media sosial.
Haryati berkata, umur 16 tahun dianggap sebagai had yang sesuai memandangkan individu yang lebih berusia lazimnya mempunyai tahap kematangan yang lebih baik dalam menilai maklumat, mengurus interaksi digital dan mengenal pasti risiko yang wujud di alam siber.
Beliau turut menarik perhatian bahawa pendekatan serupa telah dilaksanakan di beberapa negara, termasuk Australia yang menggubal undang-undang bagi mengehadkan akses media sosial kepada individu bawah 16 tahun serta mengenakan tindakan terhadap pihak yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penetapan had umur sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu keselamatan digital secara menyeluruh.
“Masih terdapat cabaran seperti keupayaan pengguna muda memintas sekatan yang ditetapkan melalui penggunaan teknologi seperti Virtual Private Network (VPN) atau kaedah lain yang membolehkan mereka mengakses platform media sosial.
“Oleh itu, peranan ibu bapa, keluarga dan institusi pendidikan amat penting dalam meningkatkan literasi digital serta membimbing remaja supaya lebih peka terhadap risiko yang wujud dalam persekitaran digital,” katanya.
Menurut beliau, pendidikan dan pendedahan berterusan mengenai keselamatan siber perlu diperkukuhkan bagi memastikan generasi muda mempunyai kemahiran untuk menggunakan teknologi secara bertanggungjawab dan selamat.
“Undang-undang sahaja tidak memadai. Pendidikan, pemantauan dan bimbingan yang berterusan perlu berjalan seiring bagi melahirkan pengguna digital yang lebih bijak dan berdaya tahan,” katanya.
Dalam pada itu, Haryati berkata kerjasama lebih erat daripada pengendali platform media sosial juga diperlukan bagi memperkukuh mekanisme pengesahan umur, sistem keselamatan pengguna serta penapisan kandungan yang lebih berkesan.
Beliau menyambut baik usaha kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang memperkenalkan beberapa kerangka perlindungan pengguna muda seperti Child Protection Code dan Risk Mitigation Code bagi memperkukuh keselamatan kanak-kanak dan remaja dalam talian.
“Pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa dan penyedia platform digital amat penting bagi memastikan ruang siber menjadi persekitaran yang lebih selamat untuk generasi muda,” katanya.



