KOTA KINABALU: Semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan komuniti perlu berganding bahu dalam membimbing generasi muda agar menjadi pengguna teknologi yang berakhlak, bertanggungjawab dan bijak dalam menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti Dan Pihak Swasta (PIBKS), Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, usaha membentuk generasi celik digital tidak boleh dipikul oleh kerajaan atau institusi pendidikan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan.
Menurut beliau, langkah kerajaan menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran dan penggunaan akaun media sosial bermula Jun 2026 merupakan satu inisiatif penting dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada pelbagai ancaman di alam siber.
“Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam melindungi golongan muda daripada risiko seperti buli siber, penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai dengan perkembangan usia mereka.
“Namun, penguatkuasaan dasar sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan berterusan daripada ibu bapa, sekolah dan masyarakat dalam mendidik anak-anak menggunakan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Arif berkata, pendidikan literasi digital perlu diperkasakan bagi memastikan generasi muda bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi juga memahami tanggungjawab serta implikasi setiap tindakan mereka di ruang siber.
Katanya, aspek keselamatan dalam talian, etika komunikasi digital dan keupayaan menilai kesahihan maklumat perlu diterapkan sejak usia muda bagi membentuk pengguna teknologi yang lebih matang dan berintegriti.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan itu selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang menekankan sinergi antara sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam membentuk modal insan berkualiti.
“Kerjasama erat antara semua pihak amat penting untuk memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran digital yang selamat, sihat dan kondusif.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mempunyai nilai akhlak yang tinggi serta mampu menggunakan kemudahan digital untuk manfaat diri, keluarga dan negara,” katanya.
Beliau berharap langkah yang diperkenalkan kerajaan itu dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya penggunaan teknologi yang lebih positif dan bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda negara.



