TAWAU: Tiga lelaki masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah memiliki ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.
Tertuduh, Tarasani Baltapa, 50, Jumsele Ingsang, 38, dan Mahandi Sabturani, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didapati memiliki 10 ekor ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan ketika berada di sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran di perairan Tanjung Kiraz pada jam 2.30 petang, 2 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap setiap tertuduh. Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, mereka boleh dipenjarakan selama tiga bulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Laester Bulun, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.



