KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya melaksanakan operasi pemusnahan objek disyaki bahan letupan tidak meletup (UXO) yang ditemui di perairan Pulau Mamutik menerusi kerjasama antara Cawangan Selam Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) dan Depot Peluru dan Bahan Letupan Timur (DPBLT).
Objek berkenaan ditemui pada 9 Jun lalu selepas seorang pemandu aktiviti snorkeling terserempak dengan objek berkarat sepanjang kira-kira 25 sentimeter di dasar laut sebelum penemuan itu dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pengurusan Taman-Taman Sabah di Taman Tunku Abdul Rahman.
Susulan laporan diterima, penilaian awal mendapati objek tersebut berpotensi sebagai bahan letupan lama yang masih boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan awam.
Memandangkan lokasi penemuan berada di kawasan perairan, operasi pemusnahan diserahkan kepada pasukan Explosive Ordnance Disposal (EOD) TLDM selaras dengan Operation Planning Committee (OPC) No. 8.
Pasukan EOD TLDM yang terdiri daripada anggota Cawangan Selam MPA Timur dan DPBLT kemudian menjalankan penilaian teknikal menyeluruh sebelum melaksanakan prosedur pemusnahan terkawal mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Operasi khas itu diketuai Komander Ts. Ahmad Firdaus Zakaria yang bertanggungjawab menyelaras serta memastikan setiap fasa operasi dilaksanakan mengikut prosedur keselamatan dan piawaian EOD.
Menurut kenyataan Markas Pemerintahan Armada Timur hari ini, operasi berkenaan berjaya disempurnakan dengan selamat, teratur dan tanpa sebarang insiden.
“Hasil operasi ini, kawasan perairan Pulau Mamutik kini disahkan selamat untuk aktiviti pelancongan, rekreasi marin dan pelayaran setempat, sekali gus memastikan keselamatan pengunjung serta komuniti maritim terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Markas Pemerintahan Armada Timur turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sepanjang pelaksanaan operasi, khususnya PDRM Kota Kinabalu atas tindakan pantas dan penyelarasan operasi di lapangan, Taman Tunku Abdul Rahman yang membantu dari segi logistik serta kawalan keselamatan kawasan, selain komuniti maritim, pengusaha resort dan pengendali aktiviti pelancongan yang segera melaporkan penemuan objek mencurigakan.
Menurut kenyataan itu, kejayaan operasi berkenaan membuktikan komitmen berterusan TLDM dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi di samping memperkukuh kerjasama antara agensi penguatkuasaan dan komuniti maritim dalam menangani ancaman keselamatan di kawasan perairan.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyentuh, mengalihkan atau cuba memusnahkan sendiri sebarang objek mencurigakan yang ditemui di laut.
Sebaliknya, sebarang penemuan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut demi menjamin keselamatan semua pihak.



