KOTA KINABALU: Empat warga asing, termasuk seorang wanita, dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berasingan memasuki negeri ini secara haram.
Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap tiga tertuduh, yang kesemuanya merupakan warga Filipina, manakala seorang lelaki warga China didenda RM4,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkah kesemua tertuduh supaya dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk Tindakan lanjut.
Kesemua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan di beberapa lokasi di Sabah, iaitu di sekitar bandar raya ini, Kudat dan Sipitang, selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah apabila diminta oleh pihak berkuasa.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh warga Filipina menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Baxter Junior Goh dan Norizan Awang Tanda.



