KOTA KINABALU : Kerjasama penyelidikan antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Euglena Malaysia Sdn. Bhd. dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi akuakultur lestari yang mampu meningkatkan produktiviti industri, memperkukuh keselamatan makanan serta menyokong agenda ekonomi biru negara.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Dr. Ir. Rosalam Sarbatly berkata, kerjasama strategik tersebut membuktikan bagaimana gabungan kepakaran universiti dan industri mampu menterjemahkan penyelidikan kepada inovasi yang memberi impak sebenar kepada masyarakat dan sektor ekonomi.
“Penyelidikan yang dilaksanakan melalui Institut Marin Borneo (IMB) memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi makanan ternakan berasaskan mikroalga yang berpotensi meningkatkan kesihatan, imuniti dan kadar pertumbuhan ikan ternakan.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh penyelidikan saintifik, malah membuka ruang kepada pembangunan teknologi yang dapat dimanfaatkan oleh industri akuakultur.
“Ia turut menyokong usaha negara dalam memperkukuh keselamatan makanan, meningkatkan daya saing industri serta memacu pembangunan ekonomi biru yang mampan,” katanya.
Tambah Rosalam, UMS sentiasa memastikan agenda penyelidikan dan inovasi universiti dipacu bukan sahaja oleh kemajuan teknologi, tetapi juga berdasarkan keperluan industri dan masyarakat.
“Pendekatan ini membolehkan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian yang praktikal, relevan dan bersedia untuk diaplikasikan oleh industri.
“Penyelidikan tidak seharusnya berakhir di makmal atau dalam penerbitan akademik semata-mata. Sebaliknya, hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada harta intelek, pelesenan teknologi dan produk yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta ekonomi negara.
“Kerjasama antara UMS dan Euglena Malaysia menggabungkan kepakaran universiti dalam bidang akuakultur, fisiologi ikan dan imunologi dengan pengalaman industri dalam penyelidikan serta aplikasi mikroalga.
“Penyelidikan ini dijangka menyumbang kepada pembangunan makanan ternakan berfungsi yang berasaskan bukti saintifik dan berpotensi diaplikasikan secara meluas dalam industri akuakultur.
“Gabungan kekuatan akademik dan industri ini diyakini mampu menghasilkan inovasi yang praktikal, berimpak tinggi dan bersedia untuk pasaran.
“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada industri akuakultur, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan kelestarian sektor makanan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Dekan IMB, Profesor Madya Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi dalam memajukan inovasi akuakultur menerusi aplikasi bioteknologi mikroalga dan penyelidikan saintifik.
Menurut beliau, gabungan kepakaran penyelidikan UMS dalam bidang akuakultur dan sains marin dengan pengalaman industri Euglena Malaysia dalam teknologi mikroalga diyakini mampu menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat jangka panjang kepada sektor akuakultur.
“Kami yakin kolaborasi ini akan menghasilkan impak yang signifikan terhadap pembangunan akuakultur lestari, keselamatan makanan dan pengukuhan ekonomi biru,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Euglena Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Taku Ogura berkata, penyelidikan bersama itu bertujuan mewujudkan nilai baharu daripada bahan berasaskan mikroalga sambil membantu menyelesaikan cabaran yang dihadapi industri akuakultur.
“Hasil penyelidikan ini dijangka menjadi asas kepada pembangunan teknologi makanan ternakan generasi baharu yang mampu menyokong pertumbuhan industri akuakultur yang lebih mampan di Malaysia dan rantau Asia,” ujarnya.



