PUTATAN: Penganjuran program Tilawah Al-Quran kanak-kanak secara berterusan mampu melahirkan pelapis qari dan qariah di Sabah, selain membentuk generasi yang celik Al-Quran sejak usia muda.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pendedahan awal terhadap ilmu tajwid, teknik taranum dan bacaan Al-Quran merupakan langkah penting dalam mencungkil bakat, di samping menyemai penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan kanak-kanak.
Menurutnya, usaha melahirkan generasi yang mahir membaca Al-Quran memerlukan komitmen berterusan daripada kerajaan, masyarakat dan pertubuhan setempat supaya program seumpamanya dapat dilaksanakan secara konsisten.
“Program yang memupuk masyarakat celik Al-Quran merupakan satu usaha murni yang bukan sahaja memperkukuh penguasaan bacaan Al-Quran, malah meningkatkan ketakwaan umat Islam.
“Sehubungan itu, kerjasama erat antara kerajaan, komuniti dan pertubuhan dalam menganjurkan program seperti ini amat penting bagi melahirkan lebih ramai pelapis qari dan qariah pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Pertandingan Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Aru Lama di Tanjung Aru, pada Sabtu.
Shahelmey berkata, program yang memberi pendedahan kepada kanak-kanak sejak usia muda bukan sahaja membantu memperkukuh penguasaan bacaan Al-Quran, malah membina keyakinan diri dan memupuk minat mendalami ilmu agama.
Beliau berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dianjurkan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai kanak-kanak dan sokongan pelbagai pihak bagi memperkasa syiar Islam di Sabah.
Terdahulu, seramai lapan kanak-kanak daripada komuniti sekitar Tanjung Aru menyertai pertandingan berkenaan yang bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang tilawah serta menggalakkan budaya membaca dan menghayati Al-Quran dalam kalangan generasi muda.



