HomeUtamaShah Alfie tinjau isu keselamatan, infrastruktur di Tanjung Keramat

Shah Alfie tinjau isu keselamatan, infrastruktur di Tanjung Keramat

Read Time:1 Minute, 36 Second

PUTATAN : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, mengadakan program ‘walkabout’ malam di beberapa lokaliti di kawasan Tanjung Keramat bagi meninjau sendiri aspek keselamatan, kemudahan awam dan permasalahan yang dihadapi penduduk.

Program yang berlangsung dari jam 8.30 malam hingga 11 malam itu menyaksikan beliau bersama rombongan, anggota pasukan keselamatan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berjalan kaki sejauh kira-kira enam kilometer merentasi tiga kampung iaitu Kampung Muhibbah, Kampung Contoh dan Kampung Sri Pandan.

Menurut Shah Alfie, tinjauan itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan di lapangan pada waktu malam, selain mengenal pasti isu-isu yang memerlukan perhatian segera.

“Dalam rondaan bersama KRT dan pihak keselamatan di tiga buah kampung ini, saya mendapati terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian, termasuk kegiatan belia, kemudahan lampu jalan serta projek-projek penambahbaikan di kawasan setempat.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keadaan semasa, namun berharap penambahbaikan dapat terus dilaksanakan terutama yang melibatkan aspek keselamatan dan projek pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jom Ronda Sukarela KRT Daerah Putatan yang berlangsung di Dewan Kampung Muhibbah Lama, di sini, pada malam Sabtu.

Shah Alfie, yang juga Pengerusi Perkasa Trading Sdn. Bhd., berkata kerjasama erat antara penduduk, wakil rakyat dan pasukan keselamatan amat penting dalam memastikan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk setempat agar terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan isu keselamatan atau masalah setempat yang memerlukan tindakan.

Katanya, pendekatan turun padang secara langsung membolehkan beliau melihat sendiri keadaan sebenar di kawasan yang diwakilinya, sekali gus memudahkan usaha mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan oleh masyarakat.

Beliau turut memaklumkan bahawa program rondaan dan walkabout pada waktu malam akan diteruskan dari semasa ke semasa selepas menerima maklum balas positif daripada penduduk setempat.

Menurutnya, inisiatif seumpama itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah mempertingkatkan semangat kerjasama komuniti dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan kawasan kediaman masing-masing.

RELATED ARTICLES
Utama

Tilawah Al-Quran kanak-kanak mampu lahirkan pelapis qari, qariah Sabah – Shahelmey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular