Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Perlindungan data peribadi perlu diberi perhatian serius seiring dengan perkembangan pesat teknologi digital bagi memastikan transformasi sektor kesihatan di Sabah dapat dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan diyakini rakyat.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, agenda pendigitalan dan inovasi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih cekap, inklusif dan berdaya tahan.
Beliau berkata, kemajuan teknologi, data dan inovasi kini menjadi pemacu utama perubahan dalam pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, namun ia perlu disokong dengan tadbir urus data yang baik, keselamatan maklumat yang kukuh serta perlindungan data peribadi yang berkesan.
“Kita sedang berada dalam era di mana teknologi, data dan inovasi menjadi pemacu utama kepada perubahan dalam hampir semua sektor, termasuk sektor penjagaan kesihatan.
“Namun, kemajuan digital ini perlu bergerak seiring dengan tadbir urus data yang baik, keselamatan maklumat yang kukuh dan perlindungan data peribadi yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata ketika merasmikan PDPA Connect Sabah 2026: Towards a Smart and Safe Healthcare Data Ecosystem di Dewan Bankuasi, Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron
James berkata, tema program berkenaan membawa mesej bahawa masa depan sektor kesihatan bukan sahaja bergantung kepada keupayaan memanfaatkan teknologi pintar, malah memastikan data kesihatan diurus secara selamat, bertanggungjawab dan dipercayai.
Katanya, data memainkan peranan penting dalam membantu pengamal kesihatan membuat keputusan yang lebih tepat, meningkatkan kecekapan operasi hospital, menyokong penyelidikan serta membantu perancangan dasar dan pembangunan inovasi baharu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan ekosistem kesihatan digital perlu memberi penekanan sama terhadap aspek keselamatan dan perlindungan data.
“Teknologi yang baik bukan hanya teknologi yang mampu memudahkan urusan, tetapi teknologi yang mampu melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
James berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan yang seimbang, progresif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
Menurutnya, sektor kesihatan mempunyai peranan penting kerana kesihatan rakyat menjadi asas kepada produktiviti, kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata, penggunaan teknologi seperti rekod kesihatan elektronik, sistem temu janji digital, perkhidmatan kesihatan jarak jauh dan analitik data membuka peluang besar untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Namun, katanya, perkembangan itu turut membawa tanggungjawab baharu kepada setiap organisasi bagi memastikan data yang diproses dan dikongsi dikendalikan secara berhemah serta dilindungi sewajarnya.
Sementara itu, James menyifatkan penganjuran PDPA Connect Sabah 2026 sebagai platform penting yang menghimpunkan pihak kawal selia, institusi kesihatan, universiti, industri dan pemegang taruh bagi memperkukuh pemahaman mengenai perlindungan data peribadi.
“Isu perlindungan data tidak boleh dilihat dari sudut perundangan semata-mata, tetapi perlu difahami daripada aspek operasi, teknologi, budaya organisasi serta kepercayaan masyarakat.
“Dalam dunia digital hari ini, kepercayaan merupakan satu nilai yang sangat penting. Masyarakat akan lebih yakin menggunakan perkhidmatan digital apabila mereka percaya bahawa data mereka dikendalikan dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan kepercayaan digital memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, pihak kawal selia, institusi kesihatan, universiti, industri, penyedia teknologi dan masyarakat.
Dalam konteks pendidikan, sains, teknologi dan inovasi, James berkata perlindungan data peribadi merupakan komponen penting dalam membina masa depan digital yang mampan.
Katanya, institusi seperti UMS dan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) memainkan peranan penting bukan sahaja dalam penyediaan perkhidmatan dan pembangunan modal insan, malah membudayakan amalan tadbir urus data yang baik.
“Kita memerlukan lebih ramai profesional yang bukan sahaja mahir dalam bidang kesihatan dan teknologi, tetapi juga memahami kepentingan perlindungan data, keselamatan maklumat dan penggunaan data secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau yakin Sabah mempunyai potensi besar untuk membangunkan ekosistem kesihatan digital yang inklusif, pintar dan selamat dengan sokongan institusi akademik, sektor kesihatan serta pihak kawal selia.
Sehubungan itu, beliau berharap PDPA Connect Sabah 2026 menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik antara Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kerajaan Negeri Sabah, UMS, HUMS, sektor kesihatan dan pihak industri dalam memperkukuh agenda kepercayaan digital di Sabah.



