KUALA LUMPUR,— Kerajaan terus memperkukuh langkah bagi melindungi rakyat dan mengekalkan kestabilan ekonomi susulan ketidaktentuan geopolitik di Selat Hormuz yang memberi tekanan terhadap harga minyak dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, harga minyak mentah Brent sehingga 14 Julai telah mencecah sekitar AS$81 setong, manakala harga hadapan (futures) berada pada paras AS$84 setong, sekali gus meningkatkan kos import minyak, gas dan diesel negara.
Beliau berkata kerajaan memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama iaitu memastikan bekalan bahan api mencukupi, mengekalkan harga pada kadar munasabah, menyediakan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Bagi mengurangkan beban kos sara hidup, Anwar berkata peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026 telah ditingkatkan kepada RM15 bilion, memberi manfaat kepada lebih sembilan juta penerima di seluruh negara katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan turut menanggung subsidi bahan api yang jauh lebih tinggi berbanding unjuran asal susulan peningkatan harga minyak global.
Menurutnya, subsidi RON95 yang pada asalnya dianggarkan sekitar RM800 juta sebulan meningkat kepada kira-kira RM5 bilion sebulan bagi Mac dan April selepas tercetusnya konflik, sebelum berkurangan kepada sekitar RM4 bilion pada Mei apabila harga minyak sedikit menurun.
Secara keseluruhan, kerajaan menganggarkan subsidi produk petroleum bagi tahun 2026 mencecah RM40 bilion, bergantung kepada pergerakan harga Brent dan pasaran hadapan.
Perdana Menteri turut memaklumkan kerajaan meningkatkan peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM3.1 bilion selain memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi melalui pemantauan berterusan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Bagi mengukuhkan keselamatan bekalan tenaga, beliau berkata Malaysia turut mempelbagaikan sumber import, termasuk memperoleh jaminan bekalan diesel jangka panjang daripada Rusia, selain kerjasama baharu di Turkmenistan yang dijangka membuka peluang kepada PETRONAS membangunkan antara kawasan telaga gas terbesar dunia bermula Disember ini.
Dalam usaha membantu sektor perniagaan, kerajaan menyediakan pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada PMKS, termasuk RM5 bilion khusus untuk usahawan Bumiputera. Selain itu, kadar sewa premis di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikurangkan sebanyak 50 peratus kepada peniaga kecil berkuat kuasa 1 April 2026, manakala MARA turut mengurangkan kadar sewa sebanyak 20 peratus.
Kerajaan juga mengumumkan kelonggaran pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga penghujung 2027 serta pengecualian sementara duti import bagi pengimportan semula barangan buatan Malaysia sehingga Disember 2026 bagi mengurangkan tekanan kos kepada perniagaan.
Menjawab soalan tambahan, Anwar berkata harga petrol di Malaysia ketika ini masih lebih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi dan Qatar, sambil menegaskan bahawa kerajaan sentiasa bersedia menilai sebarang cadangan yang boleh membantu mengurangkan beban rakyat tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberi fokus kepada kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi sehingga tamat penggal pentadbiran, sambil menyatakan rakyat lebih mengutamakan kemakmuran serta kestabilan berbanding pertikaian politik yang berpanjangan.



