KOTA KINABALU: Integriti pemimpin masyarakat menjadi faktor utama yang menentukan sama ada rakyat terus menaruh keyakinan terhadap kerajaan, kata Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.
Beliau berkata, setiap pemimpin masyarakat perlu melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran dan tidak sesekali menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi kerana setiap tindakan mereka memberi kesan langsung terhadap kepercayaan rakyat.
“Jawatan boleh datang dan pergi, namun integriti akan terus menjadi ukuran kepada nilai seorang pemimpin.
“Jangan sesekali menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kepentingan peribadi, mengambil kesempatan ketika menguruskan bantuan rakyat atau mengutamakan kroni sehingga menjejaskan kepercayaan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Sabah, Datin Shonitah Terang; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Nordin Lossin; serta pegawai AKM, UPPM Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Seminar yang menghimpunkan lebih 1,350 peserta itu disertai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Ketua Masyarakat Cina, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Dalam Bandar (JKDB), selain warga kerja UPPM Sabah.
Awang Kadin berkata, program anjuran AKM dengan kerjasama UPPM Sabah, SPRM dan Sabah Maju Jaya (SMJ) itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah yang sebelum ini diadakan di Sandakan, Tawau, Kota Marudu dan Beaufort, sebelum diteruskan di Keningau.
Menurutnya, pemimpin masyarakat bukan sahaja berperanan menyampaikan maklumat kerajaan, malah menjadi penghubung utama antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, mereka perlu memastikan setiap dasar dan inisiatif Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta agenda Sabah Maju Jaya yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, disampaikan secara tepat dan jelas kepada rakyat.
“Jangan biarkan media sosial menjadi sumber maklumat utama sehingga fakta bercampur dengan fitnah.
“Kitalah yang perlu turun padang, mendengar sendiri suara rakyat dan menjelaskan apa yang telah, sedang serta akan dilaksanakan kerajaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa integriti bukan hanya berkaitan rasuah, sebaliknya merangkumi kejujuran dalam membuat pengesahan, berlaku adil kepada semua, berani mempertahankan kebenaran serta melaksanakan amanah tanpa mengharapkan balasan.
“Kepercayaan rakyat tidak dibina dalam sehari, tetapi boleh musnah hanya dengan satu penyalahgunaan kuasa.
“Oleh itu, bekerjalah dengan penuh disiplin, berkhidmat dengan amanah dan pimpinlah masyarakat dengan penuh hikmah demi memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan terus kukuh,” katanya.



