KOTA KINABALU: Semua organisasi dalam sektor Kesihatan diseru agar memperkukuh tadbir urus data peribadi dengan menjadikan pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) sebagai sebahagian daripada budaya kerja.
Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Shariffah Rashidah Syed Othman berkata, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) merupakan pihak berkuasa yang mengawal selia pemprosesan data peribadi di Malaysia selain bertanggungjawab dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan.
Menurutnya, JPDP turut memainkan peranan dalam pendidikan, advokasi, bimbingan serta libat urus berterusan bersama pengawal data.
Katanya, pendekatan libat urus seperti PDPA Connect amat penting kerana pematuhan kepada Akta 709 memerlukan kefahaman yang jelas serta pelaksanaan yang praktikal di peringkat organisasi.
“Pengawal data perlu memahami tanggungjawab mereka dalam mengumpul, memproses, menyimpan, menzahirkan dan melindungi data peribadi.
“Dalam sektor kesihatan, tanggungjawab ini menjadi lebih kritikal kerana data yang diproses lazimnya melibatkan maklumat kesihatan dan perihal peribadi seseorang individu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program PDPA Connect Sabah 2026: Towards a Smart and Safe Healthcare Data Ecosystem yang berlangsung di Dewan Bankuasi, Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Selasa.
Shariffah berkata, perkembangan pesat teknologi dan pendigitalan perkhidmatan kesihatan telah menjadikan ekosistem data kesihatan semakin kompleks apabila perkhidmatan kini bergantung kepada sistem digital dan perkongsian data yang melibatkan pelbagai pihak.
Sehubungan itu, katanya, organisasi perlu memperkukuh tadbir urus data bagi memastikan pengurusan maklumat dilaksanakan secara selamat, telus dan berakauntabiliti.
Menurutnya, isu keselamatan maklumat, penyimpanan data, perkongsian data serta kesiapsiagaan menghadapi insiden pelanggaran data peribadi perlu diberi perhatian serius oleh setiap pengawal data.
Program itu turut menyediakan pelbagai sesi perkongsian termasuk Regulatory Keynote yang menyentuh aspek kepercayaan, perlindungan data peribadi dan akauntabiliti kawal selia dalam sektor kesihatan.



