HomeUtamaDua murid SK Sisipan wakili Malaysia ke pertandingan dron antarabangsa

Dua murid SK Sisipan wakili Malaysia ke pertandingan dron antarabangsa

Read Time:1 Minute, 21 Second

PUTRAJAYA : Dua pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sisipan Pulau Bum-Bum Semporna bakal mewakili Malaysia ke Pertandingan Pilot-X (Drone) Peringkat Antarabangsa di Hong Kong.

Pertandingan yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula esok itu akan diwakili Muhammad Hazriq Iskandar Abdullah dan Nur Halinah Atikah Mohd Moktar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang menerusi hantaran di Facebooknya berkata, selain Malaysia, pertandingan itu turut menghimpunkan negara lain termasuklah Hong Kong, China, Indonesia dan Mexico.

“Siapa sangka, adik Muhammad Hazriq Iskandar Abdullah dan adik Nur Halinah Atikah Mohd Moktar, dua murid dari SK Sisipan, Pulau Bum-Bum, Semporna, bakal mewakili Malaysia ke 2026 PilotX International Drone Competition di Hong Kong.

“Kisah mereka adalah bukti bahawa bakat anak Malaysia tidak mengenal batas geografi. Melalui Program Outreach Malaysia Techlympics, murid-murid di SK Sisipan mula didedahkan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan teknologi dron.

“Daripada sebuah sekolah di kawasan pedalaman, mereka kini berpeluang membawa Jalur Gemilang ke pentas antarabangsa,” katanya.

Lih Kang berkata, ia merupakan matlamat sebenar Malaysia Techlympics dan pihaknya tidak mahu bakat hanya ditemui di bandar-bandar besar.

Beliau berkata, pihaknya mahu mencari, menyemai dan membangunkan bakat di seluruh negara agar  setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, mempunyai peluang yang sama untuk menyerlah.

“Hari ini (semalam) saya berbesar hati menyampaikan jaket kontinjen Malaysia sebagai simbolik pelepasan kepada Hazriq dan Halinah.

“Semoga mereka membawa pulang pengalaman yang berharga, mengharumkan nama Malaysia dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk berani menceburi bidang STEM,” katanya.

Hazriq dan Halinah akan turut diiringi Guru Besar sekolah berkenaan Dayang Jasmawati Awang Jasni dan guru pengiring Salmah Amir.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua premis di Kalabakan dikompaun gagal pamer tanda harga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular