HomeUtamaDua premis di Kalabakan dikompaun gagal pamer tanda harga

Dua premis di Kalabakan dikompaun gagal pamer tanda harga

Read Time:1 Minute, 27 Second

TAWAU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau mengeluarkan kompaun terhadap dua premis perniagaan di kawasan Kalabakan, di sini, selepas didapati gagal mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penandaan harga.

Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan yang dijalankan penguat kuasa KPDN pada Selasa apabila didapati barangan yang dipamerkan untuk jualan tidak disertakan tanda harga jualan tunai sebagaimana diwajibkan di bawah undang-undang.

KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Menurut kenyataan itu, setiap barangan yang ditawarkan kepada pengguna hendaklah dipamerkan dengan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat, khususnya bagi barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan keperluan asas lain, bagi menjamin ketelusan urus niaga.

“Kegagalan mematuhi peruntukan berkenaan boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” menurut kenyataan itu di sini.

Bagi kesalahan berkenaan, individu yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh ditingkatkan kepada denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya.

Dalam operasi sama, sebanyak 15 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) turut dikeluarkan terhadap premis-premis yang diperiksa.

KPDN Tawau menegaskan pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa, khususnya menjelang musim perayaan, bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang serta mengamalkan urus niaga yang beretika demi melindungi kepentingan pengguna.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau pertanyaan berkaitan boleh mengemukakannya menerusi sistem e-Aduan KPDN, menghubungi KPDN Tawau atau menggunakan saluran WhatsApp Aduan Pengguna.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua murid SK Sisipan wakili Malaysia ke pertandingan dron antarabangsa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular