Keputusan BN Sabah Tanding 14 Kerusi Parlimen Belum Muktamad

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

Biarpun Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menegaskan UMNO akan bertanding di 14 kerusi Parlimen, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun ia belum muktamad, masih ada ruang dan masa untuk rundingan semula.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata semua pemimpin parti bebas mengeluarkan sebarang kenyataan sebarang keputusan muktamad hanya akan ditentukan oleh parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Semua pemimpin politik Sabah bebas mengeluarkan kenyataan namun keputusan muktamad akan diputuskan oleh semua parti yang membentuk GRS secara bersama.

“Proses yang sama berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), tahun lalu – di mana setiap parti mahu meletakkan calon masing-masing kerana yakin dengan kekuatan dimiliki mereka tetapi pada akhirnya GRS mencapai kata sepakat mengenai kerusi ditandingi setiap parti walaupun ada pertembungan sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, pula berkata Bung Moktar bebas mengeluarkan apa sahaja kenyataan namun parti lain juga berhak mempunyai pandangan berbeza.

“Kami mengambil maklum mengenai kenyataan dibuat oleh Bung Moktar adalah hak beliau. Namun, kami juga boleh mengeluarkan kenyataan bahawa STAR akan bertanding di 25 kerusi Parlimen pada PRU-15 nanti.

“Tetapi, kita kena duduk bersama dan berbincang bagi menyelesaikan segala pertikaian secara adil satu demi satu,” kata Jeffrey kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan tidak rasmi ke kediaman Kiandee hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, mengesahkan UMNO Sabah berhasrat untuk bertanding di sekurang-kurangnya 14 daripada 25 kerusi Parlimen Sabah pada PRU-15.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengatakan bahawa penyelidikan oleh jabatan urusan pemilihan Umno dan sekretariat penyelidikan menyokong kepercayaan parti bahawa kerusi ini, yang mana satu dipegang oleh Kiandee sendiri, ia mempunyai peluang yang baik untuk menang.

Berikutan itu Bung berkata, rundingan dengan semua parti politik dalam GRS harus dilakukan dengan telus dan secepat mungkin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *