Covid-19: Kes Sabah Makin Stabil, 85 Kes Positif Semalam

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Kes positif baharu di Sabah kembali kepada dua angka, iaitu 85 kes, kes terendah direkodkan sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda negara pada September tahun lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, tiada sebarang kematian dan kluster baharu direkodkan hari ini.

Beliau berkata, daripada 85 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu dan Penampang mencatatkan kes tertinggi dengan 16 kes, diikuti dengan Tawau (14), Sandakan (13), Keningau (6), Tuaran (3), Kalabakan (3), Beaufort (2) dan masing-masing satu kes di Kota Marudu, Nabawan, Kota Belud, Semporna, Papar dan Ranau.

Menurutnya, daripada 85 kes positif itu, sebanyak 44 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 13 kes, saringan kluster sedia ada 15 kes, saringan Perkeso empat kes, dan sembilan kes adalah dari lain-lain kategori.

Kes pulih yang dilaporkan hari ini sebanyak 156 kes dengan bilangan kumulatif 50,529 kes. Manakala, kematian di Sabah kekal 368 kes.

Setakat ini, sebanyak 52,064 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 850 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 309 orang di hospital dan 538 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta tiga orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 50 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 13 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 5,860 katil dan peratus penggunaan adalah 14.51 peratus.

Bantuan bakul makanan pula sudah diagihkan kepada 131,000 penerima yang terdiri daripada golongan yang terkesan dibawah Program Bantuan Prihatin Covid-19 2.0.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *