HomeEkonomiPKS Sabah merayu agar tempoh subsidi upah dilanjutkan sehingga tiga bulan

PKS Sabah merayu agar tempoh subsidi upah dilanjutkan sehingga tiga bulan

Read Time:2 Minute, 53 Second

Presiden Persatuan Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah, Foo Ngee Kee berkata bahawa bantuan berkenaan seharusnya diberikan sehingga tiga bulan dan melibatkan semua sektor.  

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pakej Bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) sebanyak RM40 bilion akan membantu kelangsungan PKS.

Antara bantuan berkenaan adalah subsidi upah, potongan bil elektrik sebanyak 10 peratus selama 3 bulan, peluasan potongan cukai untuk potongan sewa yang diberikan oleh Tuan Tanah hingga 31-12-2021, pelanjutan potongan cukai bagi pengurangan sewa premis sehingga 31 Disember 2021, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan sehingga 31 Disember 2021, moratorium selama 3 bulan atau pengurangan pembayaran pinjaman sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.

Bagaimanapun, Foo berkata semua sektor ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh adalah terkesan disebabkan sekatan pergerakan pengguna.

Oleh itu, subsidi upah dan pembayaran levi harus diberikan selama tiga bulan dari bulan Jun hingga Ogos 2021 iaitu  sama seperti diskaun 10 peratus untuk bil elektrik selama tiga bulan.

Jelasnya, subsidi upah hanya membantu PKS untuk membayar sebahagian kecil (iaitu kurang daripada 30 peratus) dari gaji dan caruman pekerja mereka.  

“WS (wage subsidy, subsidi upah) ini membolehkan PKS mengekalkan kakitangan yang ada dan bukannya memberhentikan mereka lalu mengambil pekerja baharu beberapa bulan kemudian ketika perniagaan dibuka kembali. Apabila mengambil pekerja baharu, PKS diberi insentif 40 peratus gaji kakitangan selama enam bulan. Kami meminta agar kerajaan menyalurkan sebahagian dana PENJANA tempat dan latihan ini ke WS yang sangat diperlukan.

“Lockdown PKP daripada 1 Jun 2021 merangkumi tiga fasa dengan kelonggaran SOP secara beransur-ansur dan pembukaan sektor ekonomi. Selepas penutupan dua minggu berakhir pada 14 Jun 2021 (jika tidak dilanjutkan) dan fasa dua kelonggaran SOP secara beransur-ansur selama 4 minggu lagi (jika tidak dilanjutkan), perniagaan tidak akan pulih dengan segera. Ia akan mengambil masa lebih dari enam bulan untuk pulih. Oleh itu, subsidi upah sekurang-kurangnya 3 bulan, jika tidak 6 bulan, sangat diperlukan bagi PKS untuk mengekalkan kakitangannya atau perniagaan,” katanya.

Foo turut memuji kerajaan Sabah kerana membenarkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka di negeri ini sementara Kerajaan Persekutuan adalah lebih ketat kerana kes COVID-19 harian yang tinggi di Semenanjung Malaysia .  

“Dengan membenarkan sektor ekonomi dibuka, PKS diberi peluang untuk mendapatkan hasil jualan (aliran tunai) untuk membantu dalam membayar gaji, pinjaman dan perbelanjaan operasi lain,” tambahnya.

Mengenai pemberian pinjaman bank kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME), Foo berkata ia membantu tetapi akan meningkatkan beban hutang mereka.

Selain itu, terdapat banyak MSME sukar mendapatkan kelulusan permohonan pinjaman mereka dan menambah bahawa melainkan jika bank dapat melonggarkan kriteria kelulusan kredit standard mereka, ia tidak akan memberi manfaat kepada MSME.

Foo juga berkata, MSME berharap mendapat sedikit potongan faedah untuk meringankan beban faedah mereka dan beliau yakin bahawa pihak bank mampu memberikan rebat faedah kepada peminjamnya.

“Saya berharap agar Kerajaan dapat berbincang dengan bank untuk memberikan potongan faedah kepada peminjam.

“Setakat ini, bank hanya membenarkan kelewatan pembayaran melalui Moratorium atau Bantuan Pembayaran Semula (MRA) dengan cara mengurangkan jumlah pembayaran ansuran pinjaman. MRA jika dibandingkan dengan rebat faedah hanya memberikan pelepasan sementara dalam aliran keluar tunai tetapi sama sekali tidak mengurangkan perbelanjaan faedah tetap.

“Bank juga masih lambat dalam memproses permintaan untuk MRA dan itu tidak membantu MSME yang memerlukan keputusan dalam waktu yang segera daripada pihak bank,” katanya sambil menambah bahawa tanpa keputusan pada waktu yang pantas, ianya akan menyebabkan MSME berada dalam keadaan tertekan. 

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu prestasi Wall Street

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular