HomePolitikPBRS, UPKO Selesai Menghadap Agong Secara Dalam Talian

PBRS, UPKO Selesai Menghadap Agong Secara Dalam Talian

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU, 14 Jun — Keperluan melaksanakan segera vaksinasi COVID-19 di Sabah terutama di kawasan pedalaman antara fokus penting yang dikemukakan oleh Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Dalam sesi menghadap Seri Paduka dalam talian secara berasingan, Timbalan Presiden PBRS Datuk Arthur Joseph Kurup dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sependapat bahawa pelbagai langkah pengukuhan perlu dilaksana bagi memastikan program vaksinasi lebih berkesan di Sabah.

Arthur berkata Sabah masih menjadi antara negeri paling rendah dalam aspek pendaftaran vaksin di negara ini antaranya disebabkan faktor geografi serta infrastruktur jalan raya dan kemudahan Internet yang kurang efisien di negeri itu.

Arthur, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Ahli Parlimen Pensiangan, berkata beliau turut mengemukakan pendapat mengenai keadaan ekonomi semasa termasuk aspek kadar pengangguran dan Keluaran Dalam Negara Kasar selain kesan pandemik COVID-19 kepada rakyat di pedalaman Sabah.

Dalam pada itu Madius, yang juga Ahli Parlimen Tuaran, pula berkata beliau mengemukakan kepada Seri Paduka mengenai keperluan penglibatan secara langsung jentera kerajaan negeri dan sektor korporat dalam proses menyegerakan proses vaksinasi di Sabah.

“Beri peluang kepada kerajaan negeri beli vaksin dan jalankan program vaksinasi sendiri, begitu juga bagi sektor korporat yang mampu seperti GLC (syarikat berkaitan kerajaan), dia boleh beli vaksin dan berikan vaksin kepada petugas,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian hari ini .

Beliau berkata selain itu, Kerajaan Persekutuan harus menyegerakan proses kelulusan kepada lebih banyak jenis vaksin.

Madius berkata beliau turut memaklumkan Seri Paduka mengenai keperluan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen yang baik bagi memastikan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang diberi tanggungjawab dalam membuat keputusan memandangkan usaha memerangi COVID-19 memerlukan kestabilan politik.

“Beri peluang kepada pemimpin pembangkang untuk turut duduk bersama dalam Majlis Keselamatan Negara terutama Ahli Parlimen yang lebih kanan bagi bersama-sama memberi pandangan mengenai cara menangani COVID-19 dan juga mengatasi pelbagai isu berbangkit terutama yang melibatkan rakyat serta ekonomi.

“Moratorium juga perlu dilaksanakan semula secara menyeluruh bukannya bersasar atau bersyarat bagi pinjaman bank kepada syarikat dan individu selain pemberian peranti komputer riba (kepada pelajar) perlu dipercepat dan capaian jalur lebar diperluas terutama di kawasan pedalaman,” katanya.

Berikut sembilan perkara yang disembah maklum oleh UPKO:

 Darurat perlu ditamatkan dengan segera. Parlimen perlu dibuka semula dan kembali bersidang,  Tubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang mencukupi, Wujudkan kestabilan politik melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).

Tolak cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN),  Segerakan inisiatif vaksinasi dan dilakukan secara inklusif, Utamakan bantuan kepada rakyat diperkemas dan disegerakan,  Pemberian peranti komputer riba dipercepat dan capaian jalur lebar diperluas serta Penyelarasan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan secara menyeluruh katanya lagi.

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

Kemelut MPN Sabah Akan Diputuskan Dalam Jangka Masa Terdekat – Anwar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya