KOTA KINABALU : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah meneruskan aktiviti penyerahan sumbangan menerusi Program MAFI Prihatin.
Pengarah FAMA Sabah Ribin Wahid berkata, program MAFI Prihatin itu adalah sebagai tanda keprihatinan pihaknya kepada para petugas barisan hadapan termasuk mereka yang terjejas akibat COVID-19.
“Sebelum ini FAMA Sabah bersama rakan strategik telah menyalurkan sumbangan kepada penduduk yang terkesan khususnya di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Pada program MAFI Prihatin kali ini, kami menyalurkan pula sumbangan kepada petugas Pusat Pemberian Vaksinasi Institusi Pendidikan Tinggi (PPVIPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sudah mula beroperasi bermula Isnin lalu,” katanya.
Penyerahan sumbangan itu disampaikan kepada Naib Canselor UMS Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin di PPVIPT UMS disini.
Hadir sama, Pengarah Hospital UMS (HUMS) Profesor Dr. Helen Benedict Lasimbang.
Ribin berkata, sumbangan berbentuk barangan segar itu diberi untuk diagihkan kepada para doktor, jururawat serta petugas yang bertungkus lumus dalam memastikan pemberian vaksin berjalan dengan lancar.
“Ia juga tanda keprihatinan FAMA terhadap para petugas barisan hadapan PPVIPT UMS. Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan kempen lebihkan makan buah-buahan dan sayuran tempatan yang mana dapat meningkatkan imunisasi badan dan sumber vitamin yang diperlukan untuk melawan penyakit,”katanya.
Sementara itu, Profesor Datuk Dr. Taufiq berkata UMS amat berbesar hati dan ingin menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak FAMA atau sumbangan ‘MAFI Prihatin’ terhadap petugas-petugas yang terlibat dalam pengoperasian PPV UMS.
“Sumbangan ini mampu memberi semangat kepada petugas-petugas di PPV UMS untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Semoga hubungan UMS dan FAMA akan terus erat,” katanya.