HomeIsu tempatanAir Terlalu Keruh,Pasir Dan Lumpur Akibat Banjir Menjadi Punca Bekalan Air Terjejas

Air Terlalu Keruh,Pasir Dan Lumpur Akibat Banjir Menjadi Punca Bekalan Air Terjejas

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Tahap kekeruhan air mentah dari Sungai Padas selain timbunan pasir dan lumpur akibat banjir menjadi antara punca utama masalah bekalan air sering terputus di daerah Beaufort.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kekeruhan air terlalu tinggi yang sering melebihi had kemampuan rawatan Loji Rawatan Air (LRA) mengakibatkan tiga LRA di daerah itu selalu dihentikan operasi.

“Tiga LRA iaitu LRA Beaufort 1,LRA Beaufort 2 dan LRA Limbawang terpaksa dihentikan operasi antara dua hingga enam kali sebulan bagi mengelak kerosakan peralatan di ketiga-tiga loji akibat air Sungai Padas yang terlalu keruh.

“Air sungai yang keruh telah menyebabkan kerosakan peralatan mekanikal pada pam dan penapis selain kejadian banjir di  Sungai Padas turut memburukkan lagi keadaan dimana loji-loji ini terpaksa ditutup purata sebanyak 10 kali sebulan,”katanya dalam kenyataan petang tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Kasih Masyarakat Sabah (PKMS) yang mahu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan kerajaan Sabah mengatasi segera isu bekalan air yang menghantui penduduk daerah itu.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, beberapa langkah dan cadangan penyelesaian telah diambil antaranya membina takungan air mentah bagi mengatasi masalah kekeruhan, banjir dan kemarau disebabkan bekalan air mentah yang stabil.

Katanya, bagi langkah jangka panjang, kertas cadangan Kementerian Kerja Raya bagi mencari pendekatan baharu dalam menangani  isu bekalan air di Sabah telah pun diluluskan oleh kabinet baru-baru ini dan tindakan susulan akan dilaksanakan bagi membaiki serta menaiktaraf sistem bekalan air di negeri ini

“Kita turut bercadang membina tangki pra-mendapan untuk LRA Beaufort Satu dan Dua selain menggunakan bahan kimia yang boleh merawat kekeruhan air mentah yang tinggi  bagi mengatasi masalah kekeruhan,”katanya.

Dalam pada itu, Bung berkata, pihaknya turut bercadang mengubahsuai muka sauk pada LRA 1 bagi mengatasi kerosakan disebabkan banjir termasuk menyediakan stok alat ganti bagi mengatasi kerosakan peralatan loji.

 “Selain dari cadangan ini, pihak Jabatan Air juga turut membuat penghantaran air terawat di beberapa kawasan yang terjejas,”katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

KKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular