BERNAMA
KOTA KINABALU — Masalah capaian Internet di pekan Tenom sehingga mengganggu proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sedang diatasi, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut kenyataannya hari ini, sebuah menara komunikasi akan dibina di Kampung Bamban dan pembinaan itu dijangka siap pada April 2022.
Selain itu, sebuah lagi menara komunikasi akan dibina berdekatan Kampung Batu 14 di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan pembinaan akan bermula pada awal 2022.
“Pembinaan kedua-dua menara komunikasi tersebut dijangka dapat mempertingkat liputan Internet di kawasan dimaksudkan selain membolehkan para penduduk menjalankan aktiviti seharian dengan lancar.
“Pelbagai langkah telah diambil untuk menangani masalah ini dan pihak MCMC telah mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan tersebut,” demikian menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyusuli laporan Bernama pada Khamis lepas (24 Jun) mengenai beberapa orang guru di sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Tenom memandu sejauh 40 kilometer bagi menghantar bahan PdPR kerana capaian Internet lemah.