HomeUtamaTerumbu Karang Paradise One Rosak Dilanggar Tongkang

Terumbu Karang Paradise One Rosak Dilanggar Tongkang

Read Time:1 Minute, 43 Second

HMetro

SEMPORNA: Terumbu karang di lokasi menyelam popular dunia di Pulau Mabul di sini, mengalami kerosakan teruk selepas dilanggar sebuah tongkang yang mengangkut bahan binaan ke pulau itu semalam.

Kerosakan di tapak menyelam Paradise One itu disedari seorang pengurus resort di pulau terbabit yang terkejut dengan kehadiran tongkang berkenaan.

Difahamkan, pengurus terbabit yang enggan didedahkan namanya menemui kontraktor yang melaksanakan kerja pembinaan di pulau itu dan menjelaskan bahawa tongkang itu terlalu besar dan tidak boleh rapat ke Pulau Mabul.

“Saya menjelaskan kepadanya bahawa tongkang itu terlalu besar dan sukar untuk merapat ke pulau walaupun ketika air pasang.

“Jika dipaksa juga ia akan menyebabkan tongkang itu tersekat di terumbu karang dan merosakkannya.

“Saya sangat sedih apabila kontraktor itu tidak mempedulikan nasihat atau amaran yang diberikan. Kerosakannya sangat menyedihkan untuk dilihat,” katanya.

Menurutnya, kontraktor terbabit sepatutnya menggunakan tongkang lebih kecil untuk membawa bahan binaan ke pulau itu bagi mengelak kerosakan terhadap terumbu karang.

Tapak menyelam popular dunia itu menjadi tumpuan ramai penyelam antarabangsa dan ia adalah habitat kepada spesies terumbu karang yang jarang ditemui, kebanyakannya dikenal pasti menerusi Projek Pemetaan Terumbu Keras Berprestij Semporna-Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Kawasan terumbu karang itu juga terkenal sebagai tapak selaman malam selain menjadi lokasi latihan untuk kursus menyelam eko Reef Check Malaysia.

Sementara itu, pengasas kumpulan konservasi tempatan Green Semporna, Adzmin Fatta berkata, dia sangat sedih dan terkejut sejurus mendengar mengenai kerosakan terumbu karang di tapak menyelam itu.

“Kita berjaya melaksanakan program konservasi marin bersama komuniti tempatan di Pulau Mabul selama beberapa tahun, tiba-tiba mendengar berita terumbu karang dirosakkan.

“Ramai sukarelawan kami sangat sedih apabila mengetahui kerosakan itu kerana sebelum ini kami melaksanakan banyak aktiviti pembersihan pantai di lokasi itu untuk melindungi terumbu karang yang ada di sana,” katanya.

Pengurus Besar Reef Check Malaysia Julian Hyde berkata, terumbu karang di Paradise One bukan saja menjadi tapak kajian tahunan yang dilaksanakan pihaknya, malah tempat latihan berkaitan terumbu karang.

Menurutnya, terumbu karang mengambil masa bertahun-tahun untuk tumbuh semula dengan baik, terutama dengan adanya tekanan seperti pelunturan karang yang dikesan di perairan Semporna baru-baru ini. – HMetro

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Memahami Bidang Kuasa TYT Sabah & Mengapa Tun Musa Aman Dilantik?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular