Pihak Konsesi dan JKR Diarah Ambil Tindakan Segera Baiki Jalan Rosak di DUN Kundasang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 0 Second

RANAU: Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam mengadakan lawatan kerja ke kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang yang terjejas akibat tanah runtuh ekoran hujan yang berterusan pada minggu lalu.

Antara kawasan yang dilawati ialah
Kampung Naradau, Kauluan, Cinta Mata, Lembah Permai, Kinasaraban, Sokid Bundu Tuhan, Lahanas dan Kundasang lama (Nagai).

“Pihak konsesi sudah diarahkan untuk mengambil tindakan dengan kadar yang segera. Demikian juga dengan Jurutera Daerah (DE) Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengambil tindakan susulan,” kata Dr. Joachim semasa melawat kawasan terbabit pada Sabtu (26 Jun).

Beliau berkata pihak konsesi perlu mengambil tindakan segera kerana kerana ada diantara jalan terbabit yang membahayakan pengguna jalan raya.

“Keadaan jalan tanah merah Kampung Pinausok Kauluan dalam keadaan merbahaya dan saya menasihatkan penduduk untuk berhati-hati,”katanya.

Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berharap agar penduduk DUN berkenaan terutamanya yang terjejas dapat bersabar kerana pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berjalan menghadkan pergerakan semua orang termasuk pihak konsesi jalan raya.

“Saya berharap penduduk kampung berhati-hati ketika melalui jalan yang berlumpur serta berlubang,”katanya.

Kejadian tanah runtuh dan kerosakan jalan raya di kawasan DUN Kundasang tersebut juga telah menarik perhatian dan reaksi pelbagai pihak.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *