RANAU: Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang juga Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, menegaskan vaksinasi adalah amat penting bukan sahaja melindungi diri sendiri, ahli keluarga, rakan sekerja, malah jiran sekeliling dan seluruh komuniti selaras dengan slogan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, ‘Lindung Diri, Lindung Semua’.
Menurutnya, pemberian vaksin Covid-19 walaupun secara sukarela namun, sangat digalakkan dan penting untuk mendaftar melalui Aplikasi Mysejahtera, Talian Hotline, Laman Sesawang www.vaksincovid.gov.my, Pendaftaran di fasiliti Perubatan Awam dan Swasta atau Program Outreach.
“Kita mengharapkan dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini, keadaan kehidupan rakyat dan ekonomi negara akan menjadi lebih baik”, jelas Jonathan dalam ucapannya menerusi siri program Malaysia Prihatin KDN yang dijalankan di beberapa lokasi daerah di Sabah sejak awal tahun ini.
Beliau mengajak semua pihak agar turut menjadi agen bagi memberi kesedaran dengan menyebarkan makumat yang tepat dan betul mengenai kepentingan program imunisasi kepada keluarga dan masyarakat seluruhnya.