KOTA KINABALU : Individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Sabah terus mencatat peningkatan apabila seramai 939,380 orang sudah mendaftar sebagai penerima vaksin sehingga hari ini berbanding 933,550 individu semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu adalah mewakili sebanyak 34.1 peratus daripada populasi di negeri ini.
“Berdasarkan rekod yang diterima daripada jumlah yang mendaftar, sebanyak 858,862 telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera; 80,214 melalui laman sesawang dan 304 lagi melalui talian vaksinasi.
“Pada hari ini sebanyak 5,830 pendaftaran telah direkodkan menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar adalah sebanyak 939,380 orang,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.
Masidi berkata, sebanyak 400 suntikan baharu dibuat bagi Fasa Pertama Dos Pertama Program Imunisasi COVID-19 (PICK) hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 64,117 orang.
Katanya, bagi Fasa Kedua Dos Kedua pula, tiada suntikan baharu dibuat pada hari ni menjadikan jumlah kumulatif kekal sebanyak 57,105 orang.
“Manakala, bagi Fasa Kedua Dos Pertama PICK, 4,354suntikan baharu dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 345,328 orang.
“Bagi Dos Kedua Fasa Kedua pula, 12,274 suntikan baharu harian dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 238,628 orang,”katanya.