Warga Pendidik Sertai Sesi Perkongsian Ilmu `Kopi O Pulut Panggang’

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 9 Second

LABUAN: Seramai 226 warga pendidik dari seluruh negara menyertai sesi perkongsian ilmu Profesional Learning Community (PLC) yang diadakan secara maya melalui pelantar YouTube Live, baru-baru ini.

Program santai yang dinamakan Kopi O Pulut Panggang itu dianjurkan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai satu cara berkongsi pengalaman berkaitan pendidikan dalam kalangan guru dari seluruh negara.

Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran (SPr), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Faridah Amit, berkata inisiatif SPr dan Sektor Pembelajaran (SPr) itu adalah aktiviti sokongan profesional kepada ahli Alumni Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah.

Beliau yang juga penyelaras program berkenaan, berkata PLC kali ini turut dibuka kepada penyertaan umum terutama guru sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Program ini adalah aktiviti sokongan profesional yang disasarkan kepada ahli Alumni Kolokium Kajian Tindakan Teknik selain turut dibuka kepada penyertaan guru-guru dari Wilayah Persekutuan Labuan serta seluruh negara,” katanya, di sini.

Katanya, program itu mengetengahkan Pensyarah Pengajian Melayu dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, Dr Yuznaili Saleh untuk berkongsi ilmu berkaitan teknik pembacaan yang berkesan.

Dalam ceramahnya, Dr Yuznaili menekankan mengenai kesesuaian bahan bacaan kepada pembaca setiap peringkat umur bagi memudahkan kefahaman terhadap kandungan bahan bacaan yang dibaca.

“Kaedah atau teknik bacaan yang sesuai juga dapat membantu pembaca untuk memahami dengan lebih baik mengenai kandungan sesebuah buku. Fokus dan lirikan mata banyak membantu pembaca untuk menangkap idea besar yang hendak disampaikan oleh penulis,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pembaca perlu mematuhi tempoh pembacaan secara konsisten bagi memberi peluang kepada otak untuk menyerap dan memproses pelbagai kategori maklumat yang ada di dalam bahan bacaan.

Sementara itu, Pengerusi Alumni Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah, Suriani Alland Rice Oxley yang juga Pegawai SISC+ di Sektor Pembelajaran menyifatkan pemilihan tajuk `Teknik Pembacaan Berkesan’ sangat signifikan kepada ahli alumni berkenaan khususnya.

“Ia juga menjadi ilmu pelengkap kepada ahli alumni sebagai persediaan untuk melakukan pembacaan yang lebih banyak terutamanya dalam penyediaan sesuatu kertas kajian penuh,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Nizam Yasim, berharap agar alumni berkenaan akan menjadi satu medan perkongsian ilmu dan kemahiran yang berterusan demi kepentingan warga pendidik seluruh negara.

Beliau turut mengumumkan tiga kertas kajian tindakan terbaik yang dipilih oleh panel penilai sempena penganjuran program PLC berkenaan.

Kertas kajian tindakan bertajuk `Menyelesaikan Masalah Pengiraan Melibatkan Persamaan Kimia bagi subjek Kimia Menggunakan Model Pelan Bansho Jepun’ hasil kajian Cikgu Chin Khui Kyun dari SMK Kunak Jaya, Sabah berjaya memperoleh tempat pertama.

Pemenang tempat kedua, katanya dirangkul oleh Cikgu Mylsa Avinne dari SK Sungai Bedaun, Labuan dan tempat ketiga pula disandang oleh Cikgu Farhana Abdol Sappar dari Sekolah Antarabangsa Labuan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *